Pas minta kaji waktu pemansuhan kutipan tol - Utusan Malaysia

Pas minta kaji waktu pemansuhan kutipan tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH 24 Feb. – Pas meminta kerajaan mengkaji semula mekanisma waktu pemansuhan kutipan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi yang jelas tidak berkesan untuk meringankan beban hidup rakyat.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, mekanisma pemansuhan kutipan tol di empat lebuh raya perlu dilaksanakan pada waktu yang betul kerana tujuannya untuk membantu rakyat.

Menurutnya, mekanisme waktu tol percuma antara pukul 11 malam hingga 5 pagi di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya SMART dilihat tidak mencapai matlamatnya.

“Apabila tol percuma antara pukul 11 malam hingga 5 pagi, maka ia tidak tercapailah matlamat sebenarnya.

“Sebab apa buat waktu itu? Sepatutnya waktu kesesakan trafik orang pergi kerja itu yang perlu dibuat secara percuma.

“Kalau nak bagi tol percuma bagilah betul-betul, jangan macam main-main,” kata.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi minum petang bersama penduduk setempat anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Idris turut meminta kerajaan mengotakan janji menghapuskan tol seperti yang dijanjikan sebelum memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, janji mahu menghapuskan semua bayaran tol antara janji yang menyentuh hati rakyat sehingga membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau boleh hapus, hapus teruslah, apa yang nak buat masa 11 malam hingga 5 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN