PULAU PINANG 26 Feb. – Pas diminta untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu telah membayar lebih RM1juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown bagi menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjelasan itu perlu dilakukan memandangkan berlaku banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kes saman tersebut yang difailkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Di mahkamah ada beberapa kenyataan yang Abdul Hadi buat longgar, akhirnya Pas tarik balik saman ini dan Rewcastle Brown tidak meminta maaf malah terus dengan tuduhan tersebut.
“Yang pentingnya saya nak tanya apakah ada bayaran yang diberikan kepada Rewcastle Brown daripada Pas, lebih RM1 juta, boleh tak disahkan,” katanya selepas menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang (PIBIS) di sini hari ini.
Menurut Anwar, beliau meminta penjelasan tersebut daripada Pas kerana melihat terlalu banyak percanggahan wujud berhubung penarikan balik kes saman tersebut.
“Saya tak mahu ulas panjang, saya tidak pernah mengulas mengenai mereka walaupun mereka telah kecam saya setahun.
“Ini kali pertama (ulas mengenai Pas) sebab saya lihat percanggahan kenyataan termasuk boleh berbohong, saya sukar untuk terima sebagai seorang muslim,” katanya. – UTUSAN ONLINE











