KAJANG – Pengendali laman web Papagomo ataupun nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa membuat laporan palsu tentang insiden serangan terhadapnya selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Sabtu lalu.
Wan Muhammad Azri berkata, tujuannya melakukan laporan polis adalah menjelaskan niatnya yang mahu menyelamatkan Syed Saddiq daripada diserang penyokong parti Barisan Nasional (BN) namun dikhianati oleh menteri itu.
“Niat saya baik untuk menyelamatkan dirinya daripada diserang namun niat saya disalah ertikan dan mendakwa bahawa saya menyerangnya dan mencekak lehernya.
“Tindakannya itu menyebabkan saya telah direman selama tiga hari,” katanya pada sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.
Beliau membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq di IPD Kajang kira-kira pukul 2 petang.
Beliau menambah, laporan itu dibuat untuk mendesak pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap menteri tersebut.
“Masyarakat sedar perkara sebenar yang terjadi.
“Saya berharap pihak polis akan mengambil tindakan yang sesuai terhadap isu ini,” ujarnya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Syed Saddiq membuat laporan polis mendakwa Papagomo telah menyerangnya dengan mencekak lehernya pada Sabtu lalu.
Papagomo kemudian direman selama tiga hari dan dibebaskan dengan jaminan polis semalam. – K! ONLINE










