‘Pangsapuri kimia’ 
terbakar, puluhan maut - Utusan Malaysia

‘Pangsapuri kimia’ 
terbakar, puluhan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA 21 Feb. – Sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh setelah terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah pangsapuri lama yang digunakan sebagai gudang kimia di Chawkbazar dekat sini malam semalam.

Dianggarkan seramai 50 orang cedera dan kira-kira 10 mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam waktu tempatan itu, kebakaran yang dipercayai bermula di sebuah bangunan yang menyimpan bahan kimia secara haram bagi menghasilkan deodoran dan kegunaan rumah lain terbakar sebelum api merebak dengan pantas ke empat bangunan berhampiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ramai mangsa yang terpe­rangkap kerana terdapat majlis perkahwinan dan restoran berhampiran lokasi kejadian.

Sebuah stesen televisyen tempatan menunjukkan rakaman penduduk tidak dapat menyelamatkan diri daripada kejadian tersebut kerana pintu pagar utama bangunan lima tingkat tersebut telah dikunci.

Ketua Bomba Bangladesh, Ali Ahmed berkata, sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dan jumlah itu dijangka bertambah.

“Jumlah korban mungkin bertambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan,” katanya.

Pasukan bomba mengambil masa hampir 12 jam untuk me­ngawal kebakaran dan mencari mayat dalam bangunan yang gelap dan dipenuhi tin semburan.

Menurut Ali, kebakaran mungkin bermula daripada tong gas dan merebak dengan cepat ke dalam bangunan disebabkan bahan kimia yang disimpan dalam sebuah bilik di pangsapuri berkenaan.

“Terdapat kesesakan lalu lintas ketika api meletus. Kebakaran juga merebak dengan pantas menyebabkan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri,” jelasnya.

Seorang lagi pegawai bomba memberitahu, kebakaran tersebut berjaya dikawal namun usaha memadamkannya sukar walaupun membabitkan lebih 200 anggota bomba.

“Usaha memadam mengambil masa kerana tidak seperti kebakaran lain,” katanya yang menyifatkan api sukar dikawal disebabkan terdapatnya bahan kimia yang mudah terbakar.

Tambahnya, jentera bomba mengalami kesukaran memasuki jalan-jalan sempit untuk sampai ke lokasi kejadian di samping berdepan masalah kekurangan air untuk mengawal kebakaran.

Al-Jazeera melaporkan, seorang mangsa yang cedera, Hazi Mohammed Salauddin berkata, dia menyaksikan sendiri letupan kuat dengan api kebakaran yang memusnahkan dinding tepi jalan.

Bangladesh sebelum ini dikritik kerana rekod keselamatan yang teruk dengan banyak ba­ngunan digunakan untuk tujuan kediaman dan komersial.

Kejadian kebakaran serupa pernah berlaku di bangunan lama Dhaka pada 2010 yang digunakan sebagai gudang kimia telah membunuh lebih 120 orang. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini