Panggil saya Iq Dinzly! - Utusan Malaysia

Panggil saya Iq Dinzly!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan perasaan. Barangkali itu yang berlaku kepada pelakon Iqram Dinzly atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 38, yang kembali mencetuskan kontroversi dalam laman sosial apabila memuat naik fotonya yang separuh bogel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gambar tersebut mengundang pelbagai kecaman dan tidak kurang yang mengeji dalam kalangan warganet dan mendakwa Iqram berkelakuan pelik sehingga ada yang melabelkan dirinya sebagai tidak waras atau gila. Ekoran itu, akaun Instagramnya juga disekat.

Kontroversi

Di sebalik kontroversi dan pelbagai kecaman itu, HITS mengadakan pertemuan eksklusif bersama pelakon yang pernah mencuri hati penonton tempatan menerusi drama Dunia Baru, Cinta Medik dan La Dolce Amira.

Perkara pertama yang Iqram ingatkan HITS adalah mengenai namanya sekarang iaitu Iq Dinzly. Katanya tegas, Iqram Dinzly sudah ‘mati’.

Setelah pelbagai dugaan hidup dan kontroversi melandanyaa, Iqram Dinzly menganggap nama itu terlalu berat untuk diteruskan dan lebih selesa dipanggil Iq Dinzly sahaja.

Sebelum kontroversi gambar bogel, Iq pernah didakwa tidak waras oleh sesetengah warganet dan peminat seni sendiri.

“Setelah apa yang saya lalui, rasanya terlalu berat untuk saya terus membawa nama Iqram Dinzly ke mana-mana. Jadi saya ambil keputusan untuk menggunakan nama Iq Dinzly sahaja. Mulai hari ini, panggilah saya dengan nama tersebut. Cukup-cukuplah Iqram Dinzly.

“Watak Iqram Dinzly membuatkan saya menambah sifat ‘munafik’ dalam diri. Sepanjang 15 tahun menjadi anak seni dengan nama Iqram Dinzly, banyak perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan, telah saya buat.

“Nama tersebut membuatkan saya hanyut dalam hidup. Biarlah nama itu hanya tinggal kenangan,” luah Iq Dinzly.

Di sebalik pertukaran nama tersebut, Iq mengakui pelbagai pengalaman yang diperolehinya semenjak menjadi artis menggunakan nama Iqram Dinzly.

“Walaupun saya sudah tukar nama panggilan, saya akui sangat rindu dengan semua kenangan yang dilalui selama 15 tahun. Sesiapa pun yang berada di tempat saya pasti akan merasainya. Terlalu banyak yang saya belajar dalam industri dan ia merupakan perjalanan yang sangat indah dalam hidup saya.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang mengenali ramai insan seperti rakan-rakan pelakon, media, pengarah, produser, kru belakang tabir dan semua yang pernah bekerjasama dengan Iqram Dinzly ketika itu.

“Saya belajar erti hidup seperti nilai sahabat, pengorbanan, kesabaran, adab dan macam-macam lagi. Itu semua membentuk saya untuk menjadi insan yang lebih matang dalam menjalani kehidupan.

“Tapi apa boleh buat, di sebalik keindahan itu saya tidak terlepas daripada situasi yang boleh menyebabkan saya berkelakuan seperti orang munafik atau berpura-pura menjadi baik. Bukan mahu menjadi munafik, cuma kadang-kadang terpaksa.

Saya sudah tidak mahu menjadi sebegitu dan itu alasan untuk saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan nama Iqram Dinzly.

“Saya tidak sedih meninggalkan nama tersebut kerana itu pendirian saya. Namun saya tidak boleh menolak hakikat rindu dengan pengalaman sepanjang menggunakan nama tersebut,” 
kata Iq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN