DUBAI 25 Feb. – Kei Nishikori berkeyakinan bahawa rakan senegaranya, Naomi Osaka mampu mengatasi tekanan yang dihadapinya apabila dia kini sudah memegang status pemain tenis elit dunia.
Nishikori menjadi pilihan utama dalam Kejohanan Dubai yang akan memulakan cabarannya menentang juara tujuh kali, Roger Federer berkata dia sudah berada di tempat Osaka dan berjaya mengatasinya dengan baik.
Bagaimanapun dia percaya pemain berusia 21 itu dapat menyesuaikan diri dengan pantas selepas memenangi dua grand slam berturut-turut di New York dan Melbourne sehingga mencetuskan kejutan di seluruh dunia.
“Pastinya tekanan dia lebih tinggi daripada saya, mungkin setahun yang lalu dia tidak berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia namun secara tiba-tiba semuanya berubah. Dia kini adalah pemain No. 1 dunia dan pernah berada tiga pemain terbaik.
“Sudah tentu tekanannya lebih tinggi. Menjadi pemain No. 1 dunia dan menjuarai grand slam adalah sesuatu yang belum pernah saya lakukan. Berlainan dengan saya,” kata Nishikori.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata Osaka akan jumpa caranya untuk berdepan orang ramai dengan selesa.
“Saya yakin dia dapat biasakan diri cuma dia perlukan masa. Dia mempunyai kekuatan mental dan amat tenang. Dia tidak kerap panik. Saya yakin dia dapat membiasakan diri,” katanya lagi. – AFP










