Orang Melayu jangan melatah - Utusan Malaysia

Orang Melayu jangan melatah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Apabila orang Melayu menyusun gerakan untuk bangkit dan bersatu sama ada dari segi politik atau ekonomi, pasti akan ada pihak yang tidak senang dan mengkritik.

Pesan Setiausaha Agung Majlis Perundi­ngan Melayu (MPM), Datuk Hasan Mad, orang Melayu tidak perlu melatah dan agenda pemerkasaan bangsa perlu diteruskan tanpa menghiraukan ‘cakap-cakap’ negatif yang timbul.

HASAN MAD
HASAN MAD 

Kata beliau, segelintir orang Melayu terlalu emosional dan defensif jika bangsanya dicemuh dan akhirnya melemah serta melambatkan usaha untuk membangunkan bangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita jangan terlampau emosional. Itu kelemahan kita, terlalu defensif dan lawan akan ambil kesempatan atas kelemahan itu.

“Maknanya, kita perlu konsisten dengan pendirian kita. Sama ada tindakan kita rasis atau tidak, kita perlu konsis­ten dan bersedia mempertahankan tindakan kita,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasan mengulas dakwaan beberapa pihak yang se­ring melihat usaha menyatukan orang Melayu dan Islam sebagai tindakan perkauman.

Ia berikutan ke­nyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan yang jelas tidak senang dengan kerjasama antara UMNO dan Pas sehingga menyifatkan ia sebagai berbahaya kepada negara.

Wan Saiful berkata, kedua-dua parti yang berteraskan Melayu dan Islam itu membawa sentimen perkauman dan agama yang tidak sesuai dengan Malaysia pada masa akan datang.

Mengulas mengenai kenya­taan itu, Hasan berpendapat ia hanyalah sekadar perang psikologi antara parti politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini