Op TBC: JPJ keluarkan 32,725 saman - Utusan Malaysia

Op TBC: JPJ keluarkan 32,725 saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Sebanyak 32,725 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas memeriksa 128,569 kenderaan sepanjang Operasi Penguatkuasaan Perayaan Tahun Baru Cina (OPS TBC) 2019 yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh dua minggu sehingga Selasa lalu.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 40,660 saman dikeluarkan daripada pemeriksaan 110,755 kenderaan menerusi operasi yang dilaksanakan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Perkara tersebut menunjukkan kadar pematuhan peraturan dan undang-undang jalan raya semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 12,433 saman kesalahan utama yang menunjukkan kesalahan di bawah operasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,632 saman.

“Antara kesalahan lain yang menunjukkan pengeluaran saman tertinggi termasuk kenderaan melebihi muatan dengan 1,472 saman, gagal mematuhi isyarat lampu merah (565), tidak memakai tali pinggang keledar (541), memotong garisan berkembar (284), tidak memakai topi keledar (280) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (253).

“JPJ juga telah mengeluarkan lapan notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) selepas menjalankan pemeriksaan terhadap 649 bas di 77 buah depoh. Selain itu, lesen lapan pemandu bas ditahan kerana gagal pemeriksaan air kencing ketika anggota penguatkuasa memeriksa 11, 176 bas di semua 28 terminal seluruh negara.

“Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres juga, operasi penyamaran sebagai penumpang bas ekspres telah dilaksanakan dan hasilnya 97 saman telah dikeluarkan daripada 753 bas ekspres yang dinaiki,” ujarnya.

Selain itu, sebanyak 14 kenderaan disita manakala 39 notis ingkar arahan larangan dikeluarkan sepanjang tempoh larangan penggunaan kenderaan barangan selama lima hari iaitu pada 2 hingga 4 Februari (sebelum cuti perayaan) dan 9 hingga 10 Februari (selepas cuti perayaan).

“JPJ juga menjalankan Op Khas Motosikal dengan kerjasama pelbagai agensi dan hasilnya, sebanyak 186 motosikal disita manakala 7,668 saman dikeluarkan yang mana kesalahan tertinggi dicatatkan adalah tiada lesen memandu (2,788) dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (1,751),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN