KUALA LUMPUR 24 Feb. – Lima pelajar antara 12 penunggang motosikal yang ditahan polis dalam operasi bersepadu Op Samseng Jalanan di Lebuh Raya Kajang- Seremban (Lekas) awal pagi tadi.
Kelima-lima suspek berumur antara 15 dan 17 tahun itu ditahan anggota polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam operasi yang bermula pada pukul 12 tengah malam sehingga 7 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat dalam satu kenyataan memberitahu, operasi bersepadu tersebut melibatkan tiga kontinjen iaitu JSPT Bukit Aman, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Sebanyak 21 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 19 motosikal disita oleh pihak polis dalam operasi yang bermula dari Plaza Tol Kajang Selatan sehingga susur keluar Nilai arah ke Seremban.
“Risikan yang dilakukan mendapati kawasan lebuh raya itu menjadi lokasi atau ‘port’ penunggang motosikal melakukan pelbagai aksi, menunggang secara melulu dan merbahaya serta melawan arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman memberitahu, anggota bertugas yang ditempatkan di beberapa lokasi strategik di sepanjang kawasan pemantauan membuat pengecaman terhadap suspek.
“Pada pukul 2.40 pagi kesemua suspek ditahan manakala motosikal mereka dirampas untuk tindakan lanjut. Mereka dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










