Nikmati seks 
era menopaus - Utusan Malaysia

Nikmati seks 
era menopaus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, 41, menjadi tumpuan dunia bukan saja kerana wajahnya yang kacak tetapi kerana kehidupannya peribadinya yang menarik. Sejak 12 tahun lalu dia kekal bahagia selepas mendirikan rumah tangga dengan Brigitte Trogneux yang kini berumur 65 tahun.

Bagaimanapun pasangan ini tidak mempedulikan kata-kata negatif terutama tentang perbezaan usia mereka. Mereka bahagia kerana saling mencintai. Sentiasa dilihat mesra dengan isteri, Emmanuel bahagia dengan kehidupan bersama tiga anak dan tujuh cucu tirinya.

Apakah rahsia kebahagian bagi wanita berusia 65 tahun ini? Memiliki suami yang jauh lebih muda ternyata bukan halangan untuk beliau mengecapi bahagia. Bagi kebanyakan wanita sudah tentu usia 60-an ibarat igauan ngeri. Apatah lagi berdepan dengan masalah menopaus yang mungkin menganggu hubungan intim suami isteri.

DRr. SHAIFUL BAHARI
DRr. SHAIFUL BAHARI 

Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, jika jarak usia pasangan lebih kurang lima tahun mungkin tidak memberi kesan ketara tetapi jika melebihi 10 tahun mungkin boleh memberi kesan hubungan jangka panjang. Pun begitu, ramai pasangan suami lebih muda daripada isteri kekal bahagia dan intim.

Menurut Dr. Shaiful, terdapat beberapa faktor trend lelaki memilih pasangan yang lebih berusia. Antaranya lelaki merasakan wanita berusia mempunyai fokus kehidupan yang lebih baik dan mungkin terancang. Ini menyebabkan lelaki lebih selamat dan mereka boleh bersama fokus dalam membentuk kebahagiaan berumahtangga

“Ada juga pendapat mengatakan wanita berusia biasanya lebih matang dalam merancang dan membuat keputusan. Ini merupakan perkara yang menyebabkan lelaki lebih teruja berbanding wanita muda yang akan bergantung sepenuhnya kepada lelaki.

“Selain itu, wanita berusia mungkin telah mempunyai pendapatan dan kerjaya yang stabil. Mereka juga mampu bergaya dan ini mungkin menarik minat lelaki lebih muda yang masih dalam proses u membina kerjaya mereka. Di samping itu, wanita berusia boleh menjadi pembimbing bagi setengah lelaki yang melihat mereka sebagai model,” katanya.

Ditanya sama ada menopaus akan menganggu hubungan intim suami isteri, Dr. Shaiful mengakui, kebanyakan kes menopaus akan menganggu hubungan intim pasangan. Tambahnya, menopaus biasanya bermula apabila wanita tersebut mencecah umur 50 tahun. Simptom yang dihadapi wanita menopaus akan menjejaskan bahagian reproduktif wanita dan boleh memberi kesan terhadap hubungan intim apabila wanita tersebut mula merasa tiada mood untuk menjalin hubungan seks, ditambah dengan kesakitan akibat kekeringan faraj.

“Perkara yang penting bagi lelaki ialah memahami simptom menopaus agar dapat mengelakkan kecelaruan hubungan suami isteri. Wanita tersebut juga perlu memahami dan bersedia terhadap perubahan fisiologi badan mereka. Tahap masalah yang timbul bergantung kepada tahap keseriusan menopaus tersebut. Justeru, wanita perlu mendapatkan penerangan dan rawatan daripada doktor,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam melakukan hubungan intim atau seks, mereka mungkin perlu melakukan foreplay lebih lama dan menyeronokkan dalam merangsang pasangan masing-masing. Tempoh untuk bersedia akan menjadi lebih panjang tetapi sepatutnya tidak menghalang dan mendapatkan kepuasan hubungan seks tersebut bahkan mungkin meningkatkan hubungan suami isteri.

Dalam konteks ini, lelaki juga boleh menghadapi situasi yang sama apabila meningkat usia 50-an. Bagaimanapun sindrom andropaus ini mungkin tidak begitu ketara dalam kebanyakan lelaki. Ini kerana hormon testosteron lelaki menurun secara perlahan dan bergantung terhadap kesihatan lelaki secara keseluruhannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN