SEPANG 17 Feb. – Tinggal dalam Penjara Wilayah Banteay Meanche, Kemboja hampir dua bulan merupakan satu keperitan dan pengalaman pahit bagi salah seorang rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di negara itu.
Menceritakan pengalaman itu, Muhamad Daud Sharuddin, 23, berkata, dia berpeluang menyaksikan banduan-banduan yang ditahan membabitkan kes lain dipukul sehingga menjadi igauan ngeri, sekali gus memberi kesedaran kepadanya agar tidak mudah mempercayai tawaran peluang pekerja dalam media sosial.
Menurutnya, walaupun dia bersama 46 rakyat Malaysia lain tidak dipukul, tetapi keadaan yang tidak boleh digambarkan itu telah memberi kesan mendalam terhadap memori masing-masing.

“Kami juga tengok banduan kena pukul, tapi tidak tahu sebab apa, mungkin itu cara mereka bergurau. Sehinggakan terdapat dalam kalangan kami menangis kerana menyaksikan perbuatan tersebut.
“Kisah yang terjadi pada kami diharapkan memberi peringatan kepada masyarakat di luar sana supaya jangan terlalu mudah percaya dengan orang tidak dikenali,” katanya ketika ditemui di KLIA2 di sini hari ini.
Pada masa sama, Muhamad Daud yang sebelum ini merupakan penjual burger memaklumkan, buat masa ini dia masih tidak mempunyai perancangan dan ingin rehat seketika di kampung halamannya di Kuala Selangor sebelum mencari pekerjaan lain.
Terdahulu, suasana sedih bercampur gembira menyelubungi KLIA2 apabila ibu bapa Muhammad Daud iaitu Zainal Abdul Kadir, 53, dan Norazian Shahrudin, 48, memeluk eratnya sejurus dia muncul di pintu balai ketibaan.
Menurut Zainal, dia bersyukur kerana anak tirinya dapat kembali ke tanah air dengan keadaan selamat walaupun pada mulanya risau dengan nasib menimpa anak kedua daripada enam adik-beradik itu.
“Ibu bapa mana tidak risau apabila setiap hari memikirkan keadaan anak yang sepi tanpa khabar berita sebaik dia berlepas ke Kemboja.
“Rupa-rupanya pakcik dapat tahu dia ditahan di penjara Kemboja setelah dimaklumkan oleh Kementerian Luar dan barulah pakcik dapat tahu dia jadi mangsa penipuan di sana,” katanya.











