KUALA LUMPUR – Nestle (M) Bhd. (Nestle) mencatat keputusan yang baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dengan perolehan sebanyak RM5.5 bilion, iaitu 4.9 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Keputusan positif ini dicapai berasaskan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan domestik dan eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, pihaknya berpuas hati terhadap prestasi pertumbuhan yang kukuh bagi tahun ini, yang disokong oleh perniagaan domestik dan eksport.
Menurutnya, tahap kecekapan dalaman lebih tinggi dan harga lebih menarik bagi komoditi adalah penting untuk menyokong usaha kumpulan mencatat keuntungan lebih kukuh tahun 2018.
“Kami terus menggiatkan aktiviti pemasaran dan perdagangan pelaburan untuk mengukuhkan daya saing produk kami di pasaran dan meningkatkan kesedaran serta pengiktirafan terhadap jenama-jenama kami oleh pengguna.
“Kami juga memanfaatkan peluang yang ditawarkan dalam dunia digital dan e-dagang, iaitu dengan meneroka cara baharu untuk melibatkan dan mendekati pengguna,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Aranols menerangkan, pertumbuhan perolehan serta margin lebih tinggi membolehkan kumpulan mencatatkan untung kasar lebih tinggi sebanyak RM2.14 bilion, iaitu kenaikan ketara 9.6 peratus berbanding RM1.95 bilion pada tahun sebelumnya.
Untung Operasi juga meningkat 7.9 peratus iaitu daripada RM847 juta kepada RM915 juta.
Peningkatan untung disumbangkan daripada harga bahan mentah lebih rendah dan usaha berterusan kumpulan untuk meningkatkan kecekapan.











