Nelayan tidak akan hilang mata pencarian kerana PSR - Utusan Malaysia

Nelayan tidak akan hilang mata pencarian kerana PSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN 28 Feb. – Para nelayan di kawasan selatan bahagian pulau negeri ini akan terus dapat menjalankan aktiviti penangkapan ikan seperti biasa biarpun projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dilaksanakan di kawasan itu.

Anggota Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, kerajaan negeri sudah memperuntukkan pengwujudan beberapa saluran akses antara tiga buah pulau buatan manusia di bawah projek itu untuk memudahkan pergerakan perahu nelayan ke laut terbuka.
 
“Kerajaan negeri telah mengambil pendekatan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat di Pulau Pinang, khususnya nelayan,” katanya dalam kenyataan di sini untuk menangkis laporan sebuah akhbar tempatan yang dianggapnya mengelirukan dan tidak berasas.
 
Beliau berkata, laporan yang mendakwa hampir 1,500 orang nelayan mahukan projek PSR itu dimansuhkan kerana ia memberikan kesan buruk termasuk menjejaskan mata pencarian mereka sebagai cubaan untuk menjana ketakutan tidak berasas terhadap projek itu.
 
“Pandangan bahawa nelayan akan kehilangan mata pencarian mereka adalah hanya persepsi dan salah tanggapan sahaja. Untuk melindungi kesejahteraan komuniti, kajian tambahan juga dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang (sebelum bersetuju meneruskan projek itu),” katanya.
 
Dr. Afif berkata, di bawah projek PSR ini, jeti-jeti baharu juga akan dibina di sepanjang pantai dan para nelayan akan diberi keutamaan dalam peluang perniagaan dan keusahawanan di PSR apabila projek itu bermula.
 
Menurutnya, kerajaan negeri juga masih lagi berusaha untuk mencapai persetujuan terbaik berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat nelayan berhubung pemberian pampasan yang bersesuaian.
 
“Kerajaan negeri mengambil serius kebajikan masyarakat nelayan dan akan menghasilkan skim pampasan yang adil dan telus serta (mengambil) pelbagai langkah lagi untuk memastikan kesejahteraan generasi mereka dan yang akan datang terjamin.
 
Beliau berkata, PSR bertujuan untuk mengubah masa depan Pulau Pinang supaya dapat menjadi sebuah negeri yang maju dan berteknologi tinggi menerusi perancangan pengwujudan bandar pintar bertaraf antarabangsa yang dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan rakyat.
 
“Melalui Bandar Pintar PSR, pelan induk transformasi yang terancang dan holistik ini akan (dapat) menangani cabaran kritikal yang dihadapi di Pulau Pinang, memupuk generasi baharu yang mempunyai idea-idea bertaraf dunia dan akhirnya, meningkatkan taraf hidup nelayan,” katanya.-BERNAMA
Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN