KUALA LUMPUR 6 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan kronologi penjualan Proton dan punca masalah kewangan syarikat pengeluar kereta nasional negara itu berlaku.
Menerusi kenyataan dalam akaun Facebook miliknya, Najib berkata, hal itu bermula apabila Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mendapat galakan daripada Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjual semua kepentingannya dalam Proton kepada syarikat swasta, DRB-Hicom.
Katanya, walaupun ketika itu ada syarikat asing berminat untuk membeli Proton dengan harga yang tinggi berbanding DRB-Hicom tetapi kerajaan tidak mempertimbangkannya kerana mahu ia jadi milik Malaysia.
“Ini bermakna apabila DRB-Hicom menjual Proton kepada Geely pada 2017, ini ialah satu penjualan oleh syarikat swasta dan bukan dari Khazanah ataupun dari kerajaan.
“Selepas diambil alih sepenuhnya oleh DRB-Hicom, Proton kehilangan wang pada jumlah yang besar setiap tahun, jualan menjunam, eksport sangat rendah dan ketinggalan dari segi teknologi,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata, Proton berada dalam keadaan kritikal pada masa itu sehingga ada dalam kalangan pembekal-pembekal tidak dibayar selain 60,000 pekerja berdepan risiko hilang mata pencarian.
Katanya, langkah penstrukturan dilakukan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton dengan syarat mencari syarikat usaha sama (JV).
“Proton kemudiannya membawa masuk Geely sebagai rakan perkongsian dan ketika memeterai perjanjian, kedua-dua syarikat ini bersetuju untuk menjadikan Proton sebagai pusat eksport ke Asia Tenggara dan juga China.
“Jika keputusan untuk mencari syarikat pengeluar kereta dari China, Geely tidak dibuat tahun lalu, sudah tentu Dr. Mahathir tidak dapat melihat penjualan kereta Proton di negara Tembok Besar itu Ogos lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










