BERADA pada ketinggian lebih 2,700 meter di udara, Ahmad Najme Abdul Wahab, 34, merasakan tubuhnya melayang-layang seketika sebelum payung terjun menggelembung.
Matanya seperti mata burung yang merakam pemandangan dari atas awan ke daratan.
Terjunan itu dilakukan dari sebuah pesawat Pilatus Portel semasa menjalani latihan untuk mendapatkan lesen bertauliah Persekutuan Payung Terjun Amerika Syarikat (USPA) di Pattaya, Thailand pada tahun 2016.
“Itu pengalaman pertama saya melakukan terjunan bersendirian, perasaan saya sukar hendak digambarkan kerana terlalu gembira bercampur berdebar.
“Kini, saya telah melakukan lebih 300 terjunan dan saya tetap bersemangat untuk terus terjun serta mempelajari skil baharu,” katanya berkongsi pengalaman kepada K2 ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya, untuk mendapatkan lesen tersebut yang membolehkan dirinya melakukan terjunan udara di mana-mana, dia perlu mengambilnya di Thailand atau Indonesia memandangkan di Malaysia lesen sedemikian tidak ditawarkan.
Ahmad Najme yang merupakan orang awam berkata, dia mula menceburi aktiviti payung terjun pada 2016 itu kerana ingin mendapat kepuasan daripada hobi baharu.
“Sebelum ini saya merupakan seorang yang suka melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.
“Bagaimanapun, kepuasan masih lagi belum ke tahap maksimum sehinggalah saya mencabar diri untuk menyertai sukan payung terjun ini,” katanya.
Bagi mengembangkan minatnya dalam sukan tersebut, bermula bulan lalu, dia telah menyertai Persatuan Payung Terjun Malaysia (MyPA) sebagai ahli komuniti itu.
Di Malaysia, sukan payung terjun kurang popular dan cenderung dilihat sebagai aktiviti untuk pasukan keselamatan seperti tentera berbanding negara-negara lain khususnya di Eropah yang menjadikannya aktiviti rekreasi yang disertai seawal usia remaja.
Kos yang tinggi untuk menceburi sukan tersebut iaitu antara RM10,000 hingga RM30,000 seorang tidak termasuk lesen juga antara penghalang rakyat negara ini untuk turut serta.
Antara peralatan untuk terlibat dalam aktiviti tersebut ialah beg payung terjun, payung terjun utama dan simpanan serta peralatan keselamatan.
Sukan payung terjun secara umumnya merupakan sukan yang memerlukan seseorang individu itu terjun dari pesawat sebelum payung terjun dikeluarkan dan pendaratan dilakukan di bumi.
Sebenarnya sukan ini mempunyai pelbagai cabang antaranya terjunan udara bebas, terjunan udara secara berkelompok yang membentuk formasi dan terjunan udara secara tendem iaitu terjunan dengan bantuan seorang tenaga pengajar berpengalaman.
Selain terjunan udara, sukan ini juga merangkumi terjunan dalam bangunan yang dinamakan indoor skydiving.
Biarpun Malaysia pada dasarnya sudah mempunyai kelab-kelab payung terjun, namun ia boleh dikatakan kurang mendapat sambutan.
MyPA atau Malaysian Parachute Association merupakan persatuan terbaharu yang ditubuhkan pada 27 Disember tahun lalu. Ia merupakan badan sukan peringkat kebangsaan yang mentadbir semua kelab payung terjun di Malaysia.
Matlamat
Didaftarkan secara rasmi di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia, persatuan ini akan membangunkan sukan payung terjun di negara ini, mencungkil bakat baharu, menambah baik peraturan payung terjun kebangsaan selain memupuk kesedaran kepada orang ramai tentang sukan ekstrem ini.
Nama MyPA turut melonjak baru-baru ini apabila melantik artis berhijab popular Malaysia, Mira Filzah sebagai duta mereka.
Justeru, MyPA dianggap bakal memberi nafas baharu kepada sukan payung terjun di negara ini.
Menurut Pengasas MyPA, Kapten Amar Ab. Aziz, sejak awal penubuhan hingga kini, seramai 520 orang sudah mendaftar di bawah MyPA.
“Malaysia sebenarnya mempunyai hampir 1,000 penerjun udara yang mempunyai lesen profesional tetapi mereka hanya bergerak sendiri ataupun melalui penubuhan kelab kecil-kecilan.
“Antara matlamat MyPA adalah ingin mewujudkan sistem yang teratur dan melakukan penstrukturan semula. MyPA juga berdedikasi untuk mengembangkan sukan ini supaya menjadi antara aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan semua orang dan melahirkan atlet sukan payung terjun negara,” katanya ketika ditemui K2 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menurutnya, MyPA juga telah diiktiraf sebagai badan pengelola payung terjun di Malaysia oleh Suruhanjaya Payung Terjun Antarabangsa.
Sementara itu, Amar berkata, pelan perancangan MyPA untuk sukan payung terjun sangat banyak tetapi masih lagi dalam penelitian supaya setiap pelaksanaan itu dapat dilakukan dengan jayanya.
Antara kursus yang bakal dibuat adalah tandem master, pembantu terjun bebas dan penerjun bebas.
Sebelum ini, bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti terjun udara di luar negara, penerjun perlu mendapatkan lesen diiktiraf di peringkat antarabangsa di negara-negara tertentu.
“Matlamat MyPA pada tahun 2020 kelak untuk mengeluarkan lesen sendiri yang sama taraf dengannya dan layak digunakan di luar negara,” katanya yang merupakan bekas ahli unit payung terjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sejarah
Berkongsi mengenai sejarah penubuhan MyPA, Amar berkata, ia merupakan perjuangan yang panjang sejak kira-kira 10 tahun lalu apabila tercetusnya idea penubuhan persatuan lebih sistematik pada tahun 2009.
Ketika itu, beliau menjejak kaki ke bumi Australia untuk mencuba aktiviti penerjunan rekreasi di Sydney Skydivers, Australia.
“Setelah saya melakukan aktiviti penerjunan di Australia, saya dapati sistem yang digunakan di negara itu sangat teratur iaitu merangkumi aspek keselamatan, kemahiran, kerjasama dan kepercayaan,” ujarnya.
Tambah Amar, beliau sangat teruja dengan atur gerak payung terjun di Australia dan ingin menjadikan sukan payung terjun itu sebagai aktiviti rekreasi di negara ini seperti di negara-negara lain.
“Bezanya, penerjunan yang dilakukan di dalam tentera lebih cenderung kepada aktiviti kerahsiaan, manakala penerjunan rekreasi lebih santai dan ia terbuka kepada orang awam,” katanya.
Namun begitu, usahanya tidak mudah disangkakan, impiannya tergendala apabila terdapat halangan daripada pihak tertentu untuk melaksanakannya.
Beliau kemudian mengambil keputusan pada tahun 2013 untuk mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun dan mengikuti kursus payung terjun yang dianjurkan oleh Persekutuan Payung Terjun Australia (APF).
“Saya berasa bangga kerana menjadi rakyat Malaysia pertama yang terlibat dengan pasukan Aussie Bigway,” ujarnya.Berbekalkan pengamatannya terhadap organisasi APF, Amar tekad untuk membawa perubahan baharu terhadap sukan payung terjun di Malaysia.
“Sebenarnya sejak tahun 2015 kita telah cuba memasuki industri payung terjun Malaysia, namun banyak halangan yang kita tempuh.
“Sehinggalah pada hujung 2018 apabila Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan yang persatuan ini telah didaftarkan dengan sah,” katanya.
Menyentuh mengenai terjunan dalam bangunan yang merupakan salah satu cabang sukan payung terjun, orang ramai boleh menerokainya di dalam terowong udara di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya yang disifatkan sebagai simulator terjunan udara.
“Maknanya, kita tak perlu pergi ke luar untuk merasai suasana terjunan udara. Apabila sudah ada pengalaman di dalam terowong itu, maka lebih mudah untuk melakukan terjunan udara kelak,” katanya.
Keahlian
Amar memberitahu, pihaknya akan membuat pendaftaran secara terbuka kepada peminat sukan itu pada bulan Julai nanti.
Segala maklumat akan diberitahu di laman Facebook, Malaysia Parachute Association.
“Perjalanan selama 10 tahun ini tidak akan berhenti begitu sahaja. Matlamat MyPA adalah untuk menyediakan platform terutamanya kepada generasi akan datang.
“Pun begitu jika generasi kini tidak memulakannya, bagaimana mungkin generasi akan datang dapat merasa kenikmatannya,” ujarnya.
Penubuhan Persatuan Payung Terjun Malaysia (MyPA) pada hujung Disember lalu berdedikasi untuk menjadikan sukan payung terjun sebagai aktiviti rekreasi awam.










