Mungkin ada penyingkiran - Utusan Malaysia

Mungkin ada penyingkiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Rama­lingam berkata, nasib kesemua tujuh pasukan yang telah menyerahkan dokumen tambahan berhubung status kewangan masing-masing masih belum selamat, malah, bakal berdepan hukuman penying­kiran daripada Liga Malaysia (Liga M).

Ini kerana, setiap dokumen tersebut akan diperiksa mengenai kesahihan maklumat yang terkandung di dalamnya dan keputusan sama ada nasib menyebelahi mereka atau sebaliknya akan diketahui, esok atau paling lewat, pagi Rabu.

“Tempoh 48 jam yang diberikan berakhir, hari ini. Semua pasukan sudahpun menghantar maklumat tambahan se­perti yang diminta. Kami perlu memastikan kesahihan segala maklumat yang diterima sebelum mengemukakan kepada ahli lembaga pengarah MFL.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Contohnya, jika ada syarikat mahu menaja salah satu daripada tujuh pasukan itu, kami perlu membuat pencarian mengenai syarikat tersebut dan memastikan mereka mampu memberi penajaan seperti yang dinyatakan.

“Secara amnya, keputusan untuk menyingkirkan sesebuah pasukan itu boleh dilakukan oleh ahli lembaga pengarah. Keputusan sesebuah pasukan yang dikatakan tidak mampu untuk meneruskan saingan Liga M, boleh dan telahpun dilakukan tahun lalu dengan penyingkiran Kuantan FA. MFL sedar perkara itu boleh berlaku pada tahun ini juga jika dirasakan perlu,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan MFL memberi tempoh 48 jam kepada tujuh pasukan yang difahamkan terdiri daripada Felda United, Perlis, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau

Pinang, Melaka United dan PDRM untuk menyediakan dokumen lengkap berhubung status kewangan masing-masing.

Bagaimanapun, Kevin yang ditemui pemberita selepas majlis undian pusingan pertama Piala FA berkata, keputusan penyingkiran sesebuah pasukan itu bukannya boleh dilakukan sewenang-wenangnya memandangkan banyak aspek yang perlu diambil kira.

“Jika ada penaja yang sudah membuat pelaburan, itu akan menyebabkan kontrak mereka terbatal dan ini menjadi kerugian dalam bola sepak tempatan dan sebab itu kita perlu melihat daripada semua aspek sebelum melakukan penyingkiran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN