KUALA LUMPUR 27 Feb. – Zurich Malaysia mengumumkan pelantikan Mukesh Dhawan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) berkuat kuasa 1 Mac 2019.
Pengarah Eksekutif Zurich Takaful dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Life Insurance Malaysia Bhd. Stephen Clark berkata, dengan pelantikan berkenaan, Dhawan akan bertanggungjawab dalam melaksanakan keutamaan strategik kumpulan bagi meningkatkan perniagaan takaful keluarganya di Malaysia.
Katanya, Dhawan mengambil alih jawatan berkenaan daripada Salim Majid Zain, yang telah meletak jawatan pada Januari 2019, dan akan melapor kepada Lembaga Pengarah Zurich Takaful.
“Beliau merupakan seorang pemimpin industri yang berpengalaman luas dengan lebih 18 tahun pengalaman dalam industri insurans hayat di Asia Pasifik dan telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dan strategik bagi pengurusan pusat keuntungan Kemalangan dan Kesihatan, pemasaran strategik, pengurusan produk serta pengurusan pengedaran di organisasi terkemuka seperti Prudential Corporation Asia, AIG and AIA.
“Pelantikan beliau mengukuhkan matlamat Zurich bagi membina budaya di dalam organisasi bagi memberi peluang kepada pekerja untuk memajukan diri dan membantu mencapai potensi mereka sepenuhnya . Saya teruja untuk berkerja bersama Mukesh bagi mengembangkan perniagaan takaful keluarga Zurich,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











