Muhibbah sambut Tahun Baru Cina - Utusan Malaysia

Muhibbah sambut Tahun Baru Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH – Musim perayaan adalah peluang untuk semua anggota keluarga berkumpul dan bersama-sama menyambutnya bersama insan tersayang.

Namun, berbeza dengan seorang ibu tunggal, Lim Su Eng, 74, yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina bukan sahaja bersama keluarga malah jiran tetangga.

Walaupun Su Eng mempunyai seorang anak tunggal perempuan berusia 37 tahun dan seorang cucu perempuan berusia lapan tahun, namun ia tidak menjadikan sambutan tahun baharu keluarga kecil itu kelihatan suram dan kelam.

Su Eng berkata, beliau sangat bertuah kerana keluarganya dikelilingi jiran tetangga terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa yang turut sama menyambut perayaan itu tanpa prejudis.

“Memang tidak sunyi kerana saya dikelilingi kawan-kawan dari semua bangsa. Malah kami sangat rapat. Disebabkan rata-rata kenalan terdiri daripada orang Melayu dan India, saya akan memastikan makanan yang dihidangkan sempena rumah terbuka akan dibeli dari kedai yang halal malah saya juga tidak menggunakan perkakasan dapur mengandungi unsur tidak halal,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Su Eng yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, setiap tahun anak perempuannya akan pulang bercuti ke kediamannya selama beberapa hari untuk membantu menyiapkan pelbagai persiapan bagi menyambut perayaan itu.

Beliau berkata, antara hidangan yang disediakan bagi menyambut tetamu yang hadir ke kediamannya termasuklah menu masakan Cina seperti masakan stim dan masakan Melayu serta India selain turut menyediakan makanan berasaskan sayuran khas untuk tetamu yang tidak makan daging.

Menurutnya, untuk mengekalkan ukhuwah persahabatan yang terjalin, beliau sentiasa mengamalkan prinsip toleransi dan sentiasa menghayati budaya masyarakat lain bagi mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

“Kalau boleh setiap daripada kita, tidak kira bangsa sentiasa amalkan sikap tolak ansur dan menjaga percakapan bagi memastikan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum terpelihara,” katanya yang telah menetap di Bagan Ajam selama lebih 20 tahun.

Sementara itu, rakan baik Su Eng, Rahmah Hussain, 63, berkata, setiap tahun beliau tidak pernah gagal mengunjungi kediaman rakannya untuk sama-sama menyambut perayaan yang istimewa itu.

“Apa yang membuatkan saya senang berkawan dengan Su Eng adalah kerana sikapnya yang begitu menghormati budaya dan adat resam agama lain selain tidak kekok bergaul dengan orang Melayu ataupun India walaupun dia sendiri berbangsa Cina,” katanya yang sudah mengenali Su Eng sejak 20 tahun yang lalu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN