Muflis: Masih ada harapan - Utusan Malaysia

Muflis: Masih ada harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK lama Tumpang tak ketemu Rosland Mohd. Ariff yang mengetuai Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) –  sebuah badan bukan kerajaan yang sering menyelesaikan isu-isu permasalahan kredit orang ramai.

Sekali dua Tumpang menerima panggilan telefon dari Rosland berkongsi kisah dia dan wakil 4PM  ‘turun naik’ bank.  

Dalam banyak kes dikendalikannya – sebahagian besar untuk melepaskan individu daripada bankrap – beliau ditempelak hingga  diseranah oleh staf-staf institusi  kewangan, semata-mata untuk membantu meringankan beban pengadu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesekali Tumpang mengusiknya, nak jadi seorang lagi “Michael Chong ke…tapi versi Melayu”. Rosland tergelak besar dari telefon bimbitnya.

Agak lama  Rosland menggerakkan operasi 4PM yang juga rakan strategik Jabatan Insolvensi Malaysia. 

Sejak 17 Julai 2013 lagi dengan pahit-jerihnya kata Rosland ‘Allah sahaja yang tahu’. Rabu 20 Februari lalu, Tumpang menerima jemputan Rosland yang membuka pejabat Biro Pengaduan Awam 4PM di Spectrum Mall, Bandar Baru Ampang. 

Diketuai Rosland sendiri sebagai Presiden, 4PM dianggotai ahli Majlis Penasihat yang juga Presiden Tribunal Timbang Tara Malaysia (MATE), Tan Sri Dr. Muslim Yacob dan beberapa peguam.

“Bank bukan seperti Ah long. Ah long boleh buat apa saja dia suka sebab itu duit dia.  Bank ada perjanjian tertentu, cuma walaupun ada perjanjian tetapi sebahagian staf mereka buat kerja tidak mesra pelanggan. 

“Dalam banyak kes, tiada sebarang notis dikeluarkan untuk lelong rumah seseorang. Bila  pengadu hendak jumpa selesaikan,  pihak atasan bank susah sangat nak jumpa,” katanya.

Nasihat Rosland bagi mengelakkan terjerumus dalam kes muflis:
“Amaun (pinjaman) yang kecil bila susah hendak lunaskan, jangan tunggu hingga faedah menjadi besar. 

“Biasanya, 4PM akan mencadangkan kepada pihak bank, kalau bankrapkan dia dengan lelong rumah, apa situasi menang-menangnya? 

Bukankah elok peminjam membayar ikut kemampuan supaya dia dapat selamatkan rumahnya  dari dilelong. Ini jalan yang baik.”

Dan semalam, Tumpang menghubungi Rosland bertanyakan respons yang diterima Biro Pengaduan Awam 4PM selepas seminggu dibuka, kata beliau:

“Ada dua bank dekat Pudu Raya dan satu lagi dahulu di Sogo yang menghalang 4PM untuk membantu peminjam mereka yang dalam kesusahan. Saya harap mereka bagi ruang kepada kami.

Dari segi respons, semalam saja, sembilan orang datang ke biro, ada 15 orang lagi buat appointment…purata dalam sehari enam orang ke sini. Kalau hari-hari berterusan macam ini  ‘kurus’ juga kami.”

 Rosland boleh dihubu­ngi di talian 019-2531000/019-3971000/1700818707 serta www.ppppmalaysia.com.my/fb.ppppmalaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×