SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru sahaja berakhir yang memperlihatkan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan kerusi tersebut. Malah kejayaan ini berakhir penuh kejutan apabila BN menang dengan majoriti lebih besar. Buat pertama kalinya Pakatan Harapan (PH) gagal memenangi PRK selepas berjaya membentuk kerajaan pada Mei tahun lalu. Malah impian PH untuk mengekalkan kemenangan secara konsisten selepas tiga PRK sebelum ini juga lebur.
Kekalahan PH kali ini memberi tamparan hebat. Adakah ini signal awal rakyat kepada kerajaan PH bahawa mereka sedang marah dan tidak berpuas hati dengan pentadbiran baharu? Atau adakah gabungan UMNO-Pas memainkan peranan dalam kemenangan ini? Secara peribadi saya berpendapat, kemenangan BN kerana rakyat sudah sedar PH hanya indah khabar daripada rupa. Tidak boleh dinafikan, kehidupan rakyat semakin ditindas dan terkesan dengan segala tindakan kerajaan PH.
Persoalannya, adakah kekalahan PH sebagai tanda protes kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana sejak kebelakangan ini sering kali membuat keputusan yang membelakangi rakyat? Atau sememangnya kerusi Cameron Highlands adalah kubu kuat BN dan akan kekal sedemikian? Jika benar rakyat sedang protes dengan tindakan kerajaan PH, BN perlu mengambil peluang ini untuk kembali bersinar dan menjadi wira di hati rakyat.
Walau apapun alasannya, BN harus mengekalkan rentak dan momentum dari hari ke hari, lebih-lebih lagi untuk menghadapi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
DHIA HANI
Persatuan Pemikir Muda Johor










