SUNGAI PETANI 26 Feb. – Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) hari ini melancarkan saluran aduan WhatsApp bagi membolehkan orang ramai mengemukakan masalah mereka kepada pihak berkuasa tempatan itu dengan menggunakan aplikasi popular tersebut.
Yang Dipertuanya, Mohd. Fauzi Mustaffa berkata, sebelum ini, MPSP menerima aduan daripada lima saluran iaitu surat, borang, telefon di talian 04-4296666, faks 04-4296658 dan e-Aduan 04-4296700.
“Sekarang pihak MPSP menyediakan satu lagi kemudahan iaitu WhatsApp melalui nombor 013-4287700 pula. Kini orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan ini pada waktu pejabat mulai pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang.
“Aduan berkaitan alam sekitar, bangunan, bencana alam, cukai pintu, hiburan, iklan, jalan, kemudahan awam, lampu jalan longkang, papan tanda, pencerobohan, penjaja, sampah dan vandalisme boleh disalurkan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aduan WhatsApp MPSP di sini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya berkata, langkah diambil oleh MPSP memperkenalkan kemudahan aduan WhatsApp sewajarnya dipuji.
Malah menurutnya, jika perkara ini dapat diperluaskan di setiap majlis perbandaran dan majlis daerah di negeri ini, banyak masalah dapat diselesaikan dan menjamin keselesaan penduduk di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE










