KUALA TERENGGANU 2 Feb. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri hari ini secara rasmi mengumumkan pelantikan 29 anggota jawatankuasa baharu Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu untuk sesi 2018-2021.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail ketika mengumumkan perkara itu berkata, jawatankuasa itu dibentuk atas persetujuan pucuk pimpinan parti dan pejabat PKR pusat sebagai tambahan kepada ahli jawatankuasa (AJK) melalui sesi pemilihan sebelum ini.
Beliau memberitahu, pembentukan jawatankuasa itu juga mengambil kira lapan cabang kawasan Parlimen di Terengganu dengan seluruh cabang atau daerah mempunyai perwakilan antara tiga hingga empat orang wakil.
“Ada empat cabang diwakili tiga perwakilan dan empat cabang lagi mempunyai empat anggota yang dilantik, menjadikan seluruh cabang dari Besut hinggalah Kemaman ada perwakilan yang hampir seimbang.
“Kesemua 29 AJK ini diiktiraf mewakili PKR Terengganu sebagai ahli MPN untuk bagi sesi 2018-2021. Saya harap pengisytiharan ini tak lagi timbul apa-apa kekeliruan tentang jawatan dan kedudukan legitimasi ahli-ahli atau jawatan seluruh PKR Terengganu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar itu Azan turut mengumumkan Naib Ketua Wanita Pusat, Datin Faizah Ariffin sebagai wakil kepemimpinan Wanita Pusat yang akan berperanan membantu pergerakan Wanita PKR Terengganu.
Sementara itu, antara yang dilantik dalam jawatankuasa itu ialah:
* Azan Ismail sebagai Pengerusi MPN merangkap Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Terengganu selain merupakan Ketua Cabang Kuala Terengganu
* Abdul Rahman Yusoff (Timbalan Pengerusi dan Ketua Cabang Dungun)
* Ahmad Sabri Ali @ Mamat (Naib Pengerusi 1 dan Ketua Cabang Marang)
* Wan Mokhtar Wan Ibrahim (Naib Pengerusi 2 dan Ketua Cabang Setiu)
* Mohamad Rosdi Mohamad (Naib Pengerusi 3)
* Mohd. Huzaifah Mohd. Suhaimi (Naib Pengerusi / Ketua AMK dan Ketua Cabang Kemaman)
* Armila Alias (Naib Pengerusi 5 / Ketua Wanita dan Ketua Wanita Cabang Dungun)
* Wan Bukhari Wan Mohamad (Setiausaha)
* Wan Ismail Wan Long (Bendahari)
* Syed Al-Amin Tuan Shariff (Ketua Penerangan)
* Mohd. Nor Ibrahim (Ketua Cabang Besut)
* Saidi Yusof (Ketua Cabang Kuala Nerus)
* Mohd. Nor Othman (Ketua Cabang Hulu Terengganu) – UTUSAN ONLINE











