MELAKA 25 Feb. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini memperkenalkan kad pintar untuk tujuan semakan dan pembayaran bil-bil setempat.
Kad pintar tersebut memudahkan pelanggan dan komuniti di bawah pentadbiran MPHTJ menyemak bil serta cukai taksiran dengan lebih mudah, cepat dan efisien secara dalam talian.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang melancarkan kad pintar tersebut berkata, penduduk kawasan pentadbiran MPHTJ kini boleh menjalankan urusan dengan agensi itu tanpa perlu menunggu bil yang dihantar ke rumah setiap bulan.
“Kementerian menyambut baik langkah diambil MPHTJ memperkenalkan kad pintar ini yang dilihat selari dengan peredaran zaman dan teknologi terkini.
“Saya berharap lebih banyak PBT memikirkan kaedah terbaik dalam pelaksanaan perkhidmatan termasuk melahirkan idea-idea baharu seperti penggunaan kad pintar seperti ini,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan kad pintar tersebut di Kompleks Melaka Mall di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew dan Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masban.
Penggunaan kad pintar ini dicetuskan oleh kumpulan inovasi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPHTJ pada tahun lalu.
Kad pintar yang mengunakan sistem pembayaran bil secara elektronik itu menurut Zuraida, wajar diperluaskan ke seluruh PBT khususnya di negeri-negeri besar seperti Kelantan, Terengganu dan Selangor pada masa akan datang. – UTUSAN ONLINE










