MPFL buka jalan pasukan futsal ke AFC - Utusan Malaysia

MPFL buka jalan pasukan futsal ke AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pengarah Pembangunan Futsal dan Bola Sepak Pantai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Ali Targholizade menjelaskan perlaksanaan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) penting terutama memberi kelayakan buat kelab dari Malaysia beraksi dalam saingan AFC. 

 

Inisiatif yang dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam sebagai langkah maju ke depan dalam pertandingan futsal ketika badan induk bola sepak negara bergerak ke era lebih profesional seiring dengan Peta Hala Tuju F:30.

“Maju ke hadapan dari amatur ke profesional memang boleh diakui FAM telah selangkah ke depan berbanding AFC dari sudut ini. 

“Di AFC, kami sememangnya berharap setiap negara menganjurkan pertandingan yang mampu membuka laluan buat mereka di pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM sebentar tadi. 

Pada masa sama, Ketua Unit Pertandingan Futsal dan Bola Sepak Pantai AFC, Brian Johnson menjelaskan sesuatu yang baharu sememangnya akan menempah laluan yang sukar seperti apa yang cuba diketengahkan FAM.

“Pastinya akan wujud isu serta cabaran namun mengambil langkah permulaan saja sudah cukup mempamerkan daya usaha yang berani di mana ia adalah langkah yang tepat dibuat FAM. 

“Namun, faktor kemampanan penting. Kita perlu sentiasa memperbaiki apa yang ada sekarang ini untuk kadar pembangunan lebih baik,” katanya.

FAM secara rasminya melancarkan liga futsal profesional MPFL buat julung kali dan dijadualkan berlangsung April ini sementara sebanyak 10 pasukan kategori lelaki akan mengambil bahagian dan lima untuk saingan wanita.

MPFL akan dilangsungkan dengan format timbal balik dengan setiap pasukan akan beraksi di gelanggang sendiri dan tempat lawan berbanding hanya berbentuk temasya pada penganjuran sebelum ini. 

Selain itu, aspek pelesenan kelab turut diperkenalkan dalam edisi pertama bagi memastikan struktur organisasi menjadi lebih kukuh membabitkan sudut kesukanan, infrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, undang-undang serta kewangan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN