KUALA LUMPUR 26 Feb. – MCA berpendapat Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak layak memegang jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) .
Ini kerana Ahli Parlimen Padang Rengas itu didakwa memiliki sikap biadab yang boleh diibaratkan sebagai musuh dalam selimut bagi BN.
Setiausaha Agung MCA, Datin Chew Mei Fun mendakwa Mohamed Nazri juga mempunyai rekod dalam membodek dan mengangkat pemimpin DAP pada masa sama gemar memperlekeh parti komponen BN.
“Beliau patut ditegur dan dibendung oleh partinya UMNO dan Nazri tidak sesuai serta tidak layak memegang jawatan Setiausaha Agung BN.
“Kepada rakan-rakan pimpinan UMNO jangan sampai hanya nila setitik, rosak susu sebelanga. Ambil tindakan sewajarnya terhadap Nazri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











