JULU LANGAT 21 Feb. – Kerajaan akan memperkenalkan modul latihan menyelamat di kawasan empangan bertembok rendah (low head dams) kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah tersebut bagi memastikan insiden enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) yang lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, tahun lalu tidak berulang.
“Saya baru diberikan taklimat oleh jawatankuasa bebas yang telah kita lantik bagi menyiasat kejadian tersebut dan didapati bomba kita belum didedahkan dengan latihan keselamatan apabila melibatkan kawasan di ‘low-head dams’.
“Selalu apabila melibatkan empangan yang besar, anggota kita semua bagus dan terlatih. Tetapi apabila melibatkan ‘low-head dams’ yang memiliki pusaran air yang tidak dijangka, belum ada latihan khusus untuk anggota bomba kita terutama untuk menyelamatkan mangsa-mangsa di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Selangor, Azmi Osman.
Jelasnya lagi, beberapa modul latihan menyelamat di ‘low-head dams’ dari luar negara akan dijadikan contoh untuk digunapakai di negara ini.
“Kita akan melaksanakan modul latihan tersebut secepat mungkin, namun sudah tentu terlebih dahulu unutk ditingkatkan peralatan kita termasuk dengan mengambil kira peruntukan kewangan yang ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE











