Minah Kari di Port Cafe - Utusan Malaysia

Minah Kari di Port Cafe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan gadis bernama `Minah’ malah bukan juga mi kari sebaliknya Minah Kari adalah set menu ala bajet berupa nasi kosong yang dihidangkan bersama ayam `gorrem’ (ayam goreng berempah), kuah kari `piaw’ dan sayur.

Minah Kari merupakan hidangan khusus untuk pelanggan yang mahukan hidangan ringkas tetapi sedap di Port Cafe, Bandar Baru Bangi pada harga hanya RM3 bagi setiap hidangan.

Kuah kari yang dihidangkan bersama-sama Minah Kari ini adalah daripada masakan kari kepala ikan, salah satu menu hidangan di restoran ini yang terkenal dengan hidangan antarabangsa.

Diiringi tagline `sedap tidak semestinya mahal’, menu Minah Kari diilhamkan oleh pemiliknya, Rizamudin Mugeni, 34, sebagai menghargai sokongan pelanggan kepadanya sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam bidang makanan dan minuman.

“Tujuan kami adalah untuk beramal sambil berniaga manakala keuntungan dikira secara pukal dan bukannya mengikut hidangan,’’ katanya yang turut mengakui masih memperoleh keuntungan daripada menu Minah Kari itu.

Menurut Rizamudin atau lebih mesra dipanggil `Zam’, pelanggan boleh mendapatkan hidangan Minah Kari ini setiap hari kecuali pada Ahad bermula pukul 11 pagi sehingga 5 petang.

Port Cafe yang juga memahami kesuntukan masa rehat dan makan tengah hari untuk pelanggan yang bekerja turut menawarkan hidangan pantas dan mudah disaji tanpa mengambil masa panjang untuk pelanggan berfikir namun yang pasti hidangan ini menyelerakan.

Empat menu diketengahkan iaitu Nasi Goreng Ayam Goreng Telur Masin, Nasi Goreng Ayam Shaslik, Nasi Goreng Ayam Buttermilk dan Nasi Goreng Ikan Dori Masam Manis berharga RM12 disertakan air sirap ais atau teh `O’ ais percuma.

Kepelbagaian hidangan di restoran ini turut diperluaskan melalui menu terbaharu iaitu sajian `sizzling’ seperti Port Streaky Chic, Port Butterly Squid dan Port Tangy’ly King Fish, yang setiap satu hidangan disertakan dengan nasi mentega bawang putih.

Lazimnya hidangan fish filet atau kepingan isi ikan menggunakan ikan dori namun Port Tangy’ly King Fish menawarkan kelainan dengan menggunakan kepingan ikan tenggiri yang digril, dimakan bersama-sama sos mangga dan nasi .

Jika ke Port Cafe tidak lengkap sekiranya tidak menikmati hidangan burger bakar Bazooka salah satu hidangan popular yang sinonim dengan restoran ini, menggunakan patti berupa ayam dan daging yang dicincang sendiri dan diadun dengan bahan lain antaranya lada hitam, daun `leek’, saderi dan serbuk mustard.

Jangan lupa mencuba air `caca marba’ iaitu air soda yang dicampur dengan asam boi, lemon, serai, daun pudina serta laici ataupun pesan sahaja air mocktail, air soda dengan pelbagai perisa dicampur dengan daun pudina.

Di Port Cafe terdapat 170 menu hidangan merangkumi masakan Timur Tengah seperti nasi mandy, masakan Indonesia antaranya nasi ayam penyet, nasi lele penyet, nasi udang penyet dan bakso namun kata Zam nasi penyet di restorannya mempunyai keunikan tersendiri kerana resipi dan cara masakannya dipelajari sendiri daripada seorang wanita di sebuah kampung di Solo, Indonesia.

Yang teringin masakan Barat, restoran ini turut menghidangkan pelbagai menu pasta, daging dan ikan salmon stik, chicken chop serta lamb chop manakala pelanggan yang ingin menikmati hidangan besar boleh memilih menu kombo masakan Barat atau masakan Timur Tengah untuk dua orang atau empat orang.

Kata Zam, Port Cafe sering menjadi pilihan dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi untuk berkumpul dan golongan berkeluarga manakala menu yang menjadi pilihan mereka adalah nasi Arab Mandy ayam golek dan masakan barat.

Port Cafe juga menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis perkahwinan dan keraian lain dengan pilihan sajian masakan kampung atau Barat termasuk kambing golek dan menariknya, kambing yang disediakan adalah usahasama pihaknya dengan penternak di Jenderam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN