KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan kemenangan besar pasukan amatur, Batu Dua FC ke atas Rawang City FC dalam aksi kelayakan Piala FA 2019 memiliki unsur-unsur skandal mengatur perlawanan.
Semalam, kelab Batu Dua FC yang dibarisi bekas-bekas pemain profesional antaranya Abdul Manaf Mamat, melakarkan kejutan dalam aksi kelayakan apabila membelasah Rawang City FC 17-1 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Kemenangan itu jelas menimbulkan keraguan peminat bola sepak tempatan yang mana keputusan tersebut dianggap tidak masuk akal apabila menyaksikan sebuah kelab meraih keputusan lebih daripada 10 gol.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menegaskan kemenangan skuad Batu Dua FC tidak perlu dipertikaikan berdasarkan kekuatan pasukan itu yang memiliki beberapa bekas pemain profesional.
“Saya tidak tahu bagaimana ia boleh timbul keraguan kemenangan besar Batu Dua FC kerana saya fikir skandal atur perlawanan boleh sahaja berlaku jika keputusan 1-0, 2-0 atau apa sahaja keputusannya. Disebabkan keputusan 17-1 tidak bermakna ia ada elemen skandal atur perlawanan.
“Apabila kami membawa pasukan-pasukan amatur ke dalam saingan Piala FA, kita sebenarnya boleh jangka variasi kualiti pelbagai pasukan dan perkara ini berlaku di seluruh dunia.
“Ia berlaku wujud jurang besar di antara kedua-dua pasukan ini. Batu Dua FC jelas memiliki bekas pemain-pemain berpengalaman dan profesional jadi kami tidak mempertikaikan integriti perlawanan ini hanya kerana keputusan jaringannya yang besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian pusingan pertama Piala FA 2019 sebentar tadi.
Selain bekas penyerang kebangsaan Manaf yang meledak enam gol, kemenangan besar kelab itu juga disumbangkan oleh tiga gol jaringan bekas pemain import MIFA Seydi Limam, selain jaringan Azidan Sarudin, Badrul Hisyam Moris, Faizal Ab Aziz, Mohd Rizua Syafiqi dan Mohd Aizat yang sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Liga Super dan Liga Premier.
Sementara itu, pada majlis undian pusingan pertama saingan kalah mati yang berlangsung hari ini, Batu Dua FC akan bertemu Klasiko FC yang menewaskan Raja Permin 5-3 dalam aksi kelayakan.
Perlawanan pusingan pertama akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac ini yang turut membabitkan 18 lagi pasukan dalam sembilan perlawanan. – K! ONLINE







