HULU LANGAT 24 Feb.- Satu mesyuarat jawatankuasa melibatkan kepemimpinan tertinggi UMNO dan Pas bagi membincangkan agenda penyatuan ummah akan diadakan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di mana hari pengundiannya berlangsung 2 Mac ini.
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, di peringkat UMNO jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuainya di peringkat Pas.
“Lebih afdal dua parti orang Melayu yang terbesar dalam negara ini iaitu UMNO dan Pas perlu menjalinkan kerjasama secara formal untuk dipastikan agenda penyatuan ummah dapat dijayakan. Jadi kita bersetuju untuk satu perundingan diadakan di peringkat pusat.
“Kita akan adakan mesyuarat tersebut selepas PRK Semenyih walaupun sepatutnya selepas PRK Cameron Highlands lalu. Saya telah cadangkan tarikh mesyuarat dan selepas ini kita akan meletakkan agenda tersebut sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi penduduk di Kampung Sungai Jai, Beranang di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan telah penubuhan jawatankuasa di peringkat UMNO dipercepatkan bagi sebuah jawatankuasa bersama di antara Pas dan UMNO dibentuk.
Jawatankuasa itu bagi membincangkan agenda mengenai penyatuan ummah termasuk berkenaan penubuhan blok pembangkang yang kuat bagi menumbangkan Pakatan Harapan (PH) menuju Pilihan Raya Umum Ke-15.
Tambah Mohamad lagi, apabila mesyuarat telah dijalankan dan jawatankuasa tersebut telah ditubuh, apakah bentuk rundingan antara kedua-dua parti itu akan dinilai supaya agenda penyatuan ummah itu dapat dilaksana dengan tertib.
“Maklum sahajalah, kedua-dua parti sudah lama tidak bersama, jadi kita mahu mencari di mana titik perbezaan itu, bila sudah disenaraikan barulah kita cari cara untuk menyelesaikan perbezaan yang ada.
“Bila sudah ada mesyuarat jawatankuasa itu nanti, kita akan buat di peringkat negeri dan bahagian supaya tidak ada kekecelaruan. Hubungan akrab di antara Pas dan UMNO ini jika dapat diperkasakan, ia akan menjadi satu bentuk baru dalam arena politik negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










