Mencari kebenaran disebalik tanah Kementah 
 - Utusan Malaysia

Mencari kebenaran disebalik tanah Kementah 


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali skandal tanah milik Kementerian Pertahanan (singkatnya Kementah) diketahui orang awam di negara ini apabila bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, menulis surat terbukanya kepada Perdana Menteri pada 8 April 2018 lalu.

Dalam suratnya itu, Rafidah mendakwa lebih 40,000 hektar tanah Kementah telah dipindahkan kepada sebuah syarikat milik tiga individu tanpa tender terbuka, di bawah satu rancangan penswastaan yang dibentangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Jemaah Menteri pada penghujung 2008.

Rafidah bertanya mengapakah tanah sebegitu luas diswastakan untuk tempoh 40 tahun kepada sebuah syarikat yang tidak diketahui rekodnya.

Kenapakah ia tidak diswastakan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang kemudian boleh bergabung dengan syarikat-syarikat besar lain yang ada rekod prestasi yang terbukti?

Rafidah mendakwa semua tanah berkenaan yang dipajakkan kepada syarikat tertentu, adalah untuk dibangunkan dengan pelbagai projek komersial.

Antara hartanah yang disebut olehnya dalam surat terbuka itu adalah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan Kem Majidee di Johor Bahru.

Beberapa hari selepas itu media tempatan menyiarkan jawapan rasmi kementerian itu. Menafikan dakwaan Rafidah itu, Kementah menegaskan bahawa ia melaksanakan projek pembangunan melalui pelbagai kaedah termasuklah penswastaan secara pertukaran tanah (land swap).

“Lantikan syarikat-syarikat yang berjaya adalah mengikut prosedur sudah ditetapkan pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“ Setiap projek pembangunan dilaksanakan oleh syarikat berlainan dan tidak mempunyai sebarang kaitan di antara satu sama lain,” menurut kenyataan itu.

Kementah turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek kementerian itu menerusi kaedah pertukaran tanah adalah mekanisme yang diguna pakai dalam rangka model kerjasama awam swasta, PPP (Public Private Partnership) diselaraskan UKAS.

Tambah kenyataan itu lagi, tanah milik Kementah yang terbabit dengan kaedah pertukaran tanah dilaksanakan selepas mendapat persetujuan end user seperti Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pertimbangan mengenai penempatan kem-kem mengambil kira lokasi strategik, keselamatan kem, kesesuaian dengan tugas-tugas operasi serta keselamatan penduduk sekitar.

Minggu lalu, akhbar tempatan melaporkan kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, bahawa kerajaan rugi lebih RM500 juta akibat urus niaga land swap (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku semenjak tahun 1997.

Mengikut menteri itu lagi, perkara ini terdedah hasil siasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari 2019 lalu.

Laporan siasatan itu kemudian telah dibentang dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu.

Kerugian yang ditanggung membabitkan 16 projek land swap terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementah dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Selanjutnya Mohamad berkata bahawa majoriti pelaksanaan projek land swap ini tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan secara wajar mengikut sistem yang komprehensif.

Selain itu, terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi land swap berkenaan yang dipercayai untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Beliau menjelaskan bahawa Angkatan Tentera membantah pembinaan empat pangkalan tentera di Hutan Melintang (Perak), Segamat dan Paloh (Johor) dan Bera (Pahang), tetapi Kementerian Pertahanan tidak peduli bantahan itu dan meneruskan projek tersebut.

Tindakan ini dilakukan semata-mata untuk “menjamin kedudukan politik” pihak-pihak tertentu, dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan diri.

Ekoran pendedahan Jawatankuasa yang mengejutkan ini, Mohamad telah mengarahkan pegawai kementeriannya membuat laporan kepada PDRM, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan agensi-agensi berkaitan yang lain untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang.

Dalam reaksi awalnya mengenai kenyataan Mohamad ini, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau mengalu-alukan siasatan ke atasnya dan pihak berkaitan berhubung dakwaan itu.

Menegaskan beliau “terima hasil siasatan” Jawatankuasa pada 28 Januari, beliau menambah tidak ada perkara yang mahu “disembunyikan”.

Pada 21 Februari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya bersedia menyiasat skandal tanah Kementah ini sekiranya ada laporan dibuat mengenainya.

Andainya kes ini lebih mengandungi unsur rasuah, SPRM akan mengambil tindakan, tegasnya.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata pendedahan Mohamad minggu lalu masih gagal menjawab banyak persoalan,.

Ini termasuklah “identiti ahli politik” yang terbabit dalam skandal ini, serta soalan jika ada “pegawai tertinggi tentera” yang terbabit sama.

“Jika pegawai tinggi tentera terbabit, walaupun mereka sudah bersara, tindakan perlu diambil terhadap mereka,” katanya lagi.

Barangkali ramai dalam kalangan orang awam tidak sedar bahawa Patriot telah mengemukakan empat soalan penting mengenai skim land swap tanah Kementah ini seawal 11 April 2018 lalu.

Soalan tersebut, yang dimuat naik ke portal rasmi persatuan itu, adalah seperti berikut:

1. Apakah nama syarikat yang dilantik bagi melaksanakan projek pembangunan tanah milik Kementah ini?

2. Siapakah pemilik-pemilik syarikat tersebut?

3. Bagaimanakah warga angkatan tentera dan ATM sendiri boleh mendapat manfaat daripada projek penswastaan pertukaran tanah tersebut?

4. Mengapakah urusan projek penswastaan pertukaran tanah ini diselubungi kerahsiaan?

Pada Khamis lalu (21 Februari 2019), Mohd. Nasaie Ismail, pegawai khas kepada Mohamad, telah memfailkan laporan kepada SPRM mengenai skandal tanah Kementah ini.

Laporan awal ini melibatkan pembinaan dua pangkalan tentera sahaja, iaitu di Paloh (Kluang, Johor) dan Hutan Melintang (Perak).

Mohd. Nasaie memberitahu wartawan bahawa dia belum terima perintah untuk membuat laporan mengenai 14 kes lain seperti yang terkandung dalam laporan jawatankuasa itu.

Kata peribahasa Cina, satu perjalanan 1,000 batu itu dimulakan dengan langkah pertama. Kita telah pun berbuat demikian.

Semoga usaha mencari kebenaran akan dipermudahkan, dan kita akan mendapat kepastian dalam masa tidak lama lagi.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan 
di Jabatan Peguam Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN