KUALA LUMPUR 14 Feb. – Menantu kepada penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.
Muhammad Aiman Zainali, 30, merupakan seorang jurutera muda yang masih mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah dalam kejuruteraan elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik UiTM dengan pencapaian kelas pertama.
Pengumuman nama Muhammad Aiman dilakukan di hadapan lebih 1,000 hadirin oleh Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Taman Pelangi Semenyih dekat sini.
Sementara itu, PH membayangkan kerjasama Pas-UMNO tidak akan berjaya dalam PRK DUN Semenyih.
Muhyiddin Yassin berkata, ini berdasarkan simulasi yang telah dilakukan berdasarkan Pilihan Raya Umum Ke-14.
Katanya, simulasi itu menunjukkan PH mendapat undi majoriti kira-kira 6,000.
“Jika Pas-UMNO bergabung, PH tetap mendapat 1,989 undi majoriti,” ujarnya.










