Banyak bagi ulasan positif mengenai filem terbang tapi mengapa pawagam masih kosong? - Shweta Sekhon - Utusan Malaysia

Banyak bagi ulasan positif mengenai filem terbang tapi mengapa pawagam masih kosong? – Shweta Sekhon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Model dan pelakon, Shweta Sekhon, mempersoalkan keadaan pawagam yang masih kelihatan kosong meskipun filem lakonannya, Terbang, menerima banyak maklum balas positif daripada penonton.

Shweta atau Shwetajeet Kaur Sekhon, 29, berkata, situasi itu menimbulkan persoalan kerana pihak pemasaran dan seluruh pasukan Terbang sudah berusaha untuk mempromosikan filem berkenaan kepada penonton.

“Sedih bila tengok ramai orang bagi ulasan positif untuk filem Terbang, tapi pada masa sama masing-masing hairan kenapa panggung wayang masih kosong. Pihak pemasaran sudah berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan bahagian mereka untuk pemasaran, begitu juga kami, seluruh keluarga Terbang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimana pula dengan anda? Ya, anda yang sedang membaca ini. Tonton Terbang di pawagam berhampiran anda dan kemudian balas perkongsian ini,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Shweta berkata, sokongan penonton penting bagi memastikan kisah yang dibawa menerusi filem berkenaan dapat diketahui lebih ramai, khususnya mengenai tokoh sukan permotoran negara, Karamjit Singh.

“Karamjit Singh ialah juara dunia kita, tetapi bukan semua orang menyedari siapa beliau, pasukannya, perjuangan mereka dan pencapaian yang telah diraih. Paling penting, kemenangan mereka.

“Saya berjanji, anda akan keluar dari pawagam dengan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Ia bukan sahaja mengenai semangat kebangsaan, tetapi juga perkembangan industri perfileman kita,” katanya.

Terbang mengangkat kisah Karamjit Singh, pelumba rali negara yang mencipta sejarah sebagai juara dunia, selain mengetengahkan perjuangan beliau bersama pasukannya dalam mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Filem ini dibintangi oleh Irfan Zaini sebagai watak utama Karamjit Singh, serta barisan pelakon hebat lain seperti Zizan Razak, Nam Ron, Diana Danielle dan termasuk Shweta Sekhon sendiri.

Filem Terbang telah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 17 September 2026 sempena sambutan Hari Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×