Sejak kebelakangan ini begitu banyak kisah tentang keretakan rumah tangga, pergeseran antara suami isteri, pergaduhan pasangan bercinta, salah faham antara ibu bapa dan anak-anak dipamerkan dalam media sosial.
Media sosial sepatutnya merapatkan hubungan, menyampaikan maklumat yang boleh dikongsi dan meningkatkan kefahaman sesuatu isu tetapi sebahagian besar status dalam laman sosial itu kini menjadi medan untuk melepaskan perasaan marah dan geram.
Lihat saja bagaimana seorang wanita telah dihadapkan ke mahkamah apabila perbuatannya dirakam melalui video, dimuat naik ke laman sosial dan kemudian menjadi tular hingga akhirnya dibawa ke muka pengadilan.
Begitu juga terdapatnya status-status laman sosial yang bersifat provokasi dan penghinaan terhadap sesuatu agama serta bangsa . Mereka melakukan tanpa rasa bersalah dan segan silu. Sebahagiannya memang bertujuan menghina manakala sesetengahnya pula melakukannya akibat sikap bebal, jahil dan kedangkalan kefahaman terhadap agama serta budaya lain.
Menurut Psikologi Klinikal Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nivashinie Mohan, perasaan marah merupakan emosi yang kompleks. Marah boleh diklasifikasi emosi daripada sedikit sakit hati sehingga kemarahan yang melampau.Kemarahan sering dikaitkan dengan kekecewaan dan mungkin timbul apabila perkara tidak berlaku seperti yang dimahukan.
“Apabila marah kadar degupan jantung kita naik, tekanan darah naik dan hormon adrenalin dan noredranalin juga naik. Apabila orang berasa marah, mereka sering memaparkan sikap marah. Ini termasuk menjerit, membuang benda, mengkritik, mengabaikan, menyerang atau enggan melakukan sesuatu.
“Marah ini timbul mungkin kerana hilang sabar atau merasakan seolah-olah pendapat atau usaha anda tidak dihargai atau wujud ketidakadilan. Sebab lain kemarahan termasuk peristiwa traumatik atau membangkitkan semangat,” jelasnya.
Beliau akui meluahkan perasaan dalam media sosial pada masa ini menjadi konsep baharu dalam kalangan masyarakat. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai rawatan kemarahan. Jadi tingkah laku orang ramai yang suka meluahkan perasaan marah mereka dalam media sosial bukanlah sesuatu yang pelik. Mereka mendakwa akan berasa tenang selepas memuat naik status dalam Facebook atau Twitter. Ini yang mendorong sesetengah pihak bebas meluahkan kemarahan mereka dalam media sosial.
Ada juga yang berpandangan sebaliknya. Mereka mengatakan trend ini akan meningkatkan lagi perasaan marah dan bukan menurunkan perasaan tersebut. Selain itu, hasil kajian terbaharu juga menunjukkan orang yang membaca dan menulis secara rawak dalam talian lebih cepat marah dan mempunyai gaya ekspresi yang lebih maladaptif daripada orang lain.
Apapun Dr. Nivashinie berkata, tindakan meluahkan perasaan marah dalam media sosial adalah tidak wajar kerana ada kes yang menyebabkan seseorang itu dimalukan secara terbuka. Bukan itu sahaja ada juga yang kehilangan pekerjaan dan menghadapi tuduhan jenayah apabila status marah mereka tular. Jadi sebelum anda muat naik status berbaur kemarahan, berhenti sebentar dan ikut langkah berikut:
S – Stop: Taipkannya, tetapi jangan hantar.
P – Pause: Tunggu sekurang-kurangnya sejam, sebaik-baiknya anda tidur.
A – Assess: Fikirkan tentang apa yang anda taipkan.
C – Confirm: Semak dengan orang lain untuk tahu apa yang mereka fikir.
E – Execute: Jika lulus, klik hantar. Jika tidak, hapuskannya.











