PARIS 24 Feb.- Kylian Mbappe mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pemain termuda menjaringkan 50 gol dalam saingan Ligue 1 selepas dia meledak dua gol ketika membantu Paris Saint-Germain (PSG) menundukkan Nimes 3-0.
Kejayaan itu menyaksikan mereka terus cemerlang di puncak liga dengan kelebihan 17 matas mengatasi Lille di kedudukan kedua.
Menurut data Opta, Mbappe meleburkan rekod yang sebelum ini dipegang Yannick Stopyra pada 1982 ketika berumur 21 tahun 11 bulan dan sembilan hari.
“Saya bekerja keras setiap untuk membantu pasukan sebaik mungkin.
“Bola sepak masih menggembirakan saya, dan menjaringkan gol, memecahkan rekod adalah sesuatu yang menjadi pendorong kepada sayan,” kata Mbappe.
Dalam aksi di Parc de Princes itu, PSG berpeluang berpesta gol namun kecekapan penjaga gawang Paul Bernadoni selain penyudah yang kurang tajam menyekat hasrat tuan rumah.
Tanpa kelibat dua tonggak serangan, Edinson Cavani dan Neymar, Mbappe sepatutnya sudah meletakkan PSG di depan pada minit ke-32 tetapi Bernadoni menjadi wira menafikan peluang jaringan itu.-AFP










