MB Perak sokong gubal akta khas kekang hina raja - Utusan Malaysia

MB Perak sokong gubal akta khas kekang hina raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 3 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan sokongan terhadap cadangan untuk menggubal undang-undang khas bagi mengekang perbuatan menghina institusi diraja.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sudah tiba masanya cadangan itu dipertimbang susulan beberapa insiden melibatkan pengguna media sosial yang memuat naik status serta komen menghina institusi raja-raja Melayu.

“Ada cadangan-cadangan untuk kita gubal undang-undang baharu khusus untuk perkara ini dan saya bersetuju kerana perbuatan mereka jelas menghina insitusi diraja yang mesti kita pelihara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya fikir sekarang ini sudah sampai tahap melampau (orang ramai yang membuat kenyataan menghina) tanpa memikirkan kesan terhadap perbuatan mereka, justeru saya menyokong tindakan polis menjalankan siasatan ke atas pihak berkaitan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. 

Wan Rosdy berkata, untuk jangka masa panjang, kerajaan negeri mencadangkan agar undang-undang khusus dan lebih berat seperti undang-undang Les Majeste di Thailand, mula dibincang secara serius untuk diperkenalkan di negara ini.

Dalam perkembangan berlainan, menyentuh tindakan Pas membuat keputusan dengan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik tuntutan terhadap editor Sarawak Report iaitu Clare Rewcastle Brown, Ahmad Faizal berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai status dana RM90 juta yang didakwa diterima parti itu daripada kepemimpinan UMNO sebelum ini.

“Selepas membaca laporan mengenai tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report hari ini membuatkan saya tertanya-tanya adakah benar beliau menerima dana itu seperti yang didakwa oleh Sarawak Report?

“Ramai orang yang saya jumpa di sini juga bertanyakan soalan sama, jadi biar rakyat menilainya sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini