SEREMBAN 20 Feb. – Mengakui kekuatan lawan yang bakal dihadapi, Pakatan Harapan (PH) negeri ini akan turun sebagai ‘underdog’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang diadakan tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, saingan yang bakal dihadapi oleh PH dalam PRK itu tidak mudah memandangkan Datuk Seri Mohamad Hasan telah mewakili kawasan DUN itu selama tiga penggal dan berasal dari kampung di situ.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, tidak dapat dinafikan bahawa kawasan DUN itu adalah kubu kuat bekas Menteri Besar itu.
“Kita akur dengan kekuatan jawatan yang dipegang oleh beliau, yang kini adalah orang nombor satu dalam UMNO.
“Ini bukan satu persaingan yang mudah. Jadi kita turun sebagai underdog untuk memastikan bahawa peluang kita untuk menang tetap ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan kemenangan Mohamad untuk kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu.
Serentak itu, PRK DUN Rantau perlu diadakan.
Aminuddin memberitahu, PH akan mengatur strategi tertentu bagi menarik sokongan pengundi dalam DUN berkenaan.
Mengenai calon yang akan ditampilkan dalam PRK itu, beliau berkata, sehingga kini, PH belum memutuskan mengenainya kerana masih banyak masa untuk berbuat demikian.
Katanya, beliau juga menyifatkan tindakan individu yang mengumumkan berminat untuk bertanding kerusi berkenaan sebagai perkembangan yang positif.
“Saya dengar ramai yang umumkan berminat. Lebih ramai lebih bagus dan positif kerana dulu suruh bertanding pun tiada siapa yang mahu.
“Sesiapa pun boleh menawarkan diri kerana pada akhirnya Majlis Presiden PH yang akan membuat keputusan muktamad selepas semua tapisan dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










