JOHOR BAHRU 25 Feb. – Orang ramai yang sedang menjala udang di tepi pantai di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki di sini malam tadi.
Mayat Yusery Hashim, 50, yang lengkap berpakaian ditemukan terapung oleh orang awam pada 9.50 malam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mayat lelaki yang dipercayai baru sahaja meninggal dunia itu ditemukan kira-kira satu meter dari pantai.
“Mangsa berbadan kurus, ditemukan memakai baju T berwarna hitam dan berseluar paras lutut semasa ditemukan orang awam. Mayat lelaki itu kemudiannya ditarik anggota bomba dan penyelamat ke tepi pantai.
“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang kecederaan dan unsur jenayah ditemukan pada mangsa. Mayat manga dihantar ke HSA untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – UTUSAN ONLINE










