KEPALA BATAS 6 Feb. – Seorang pekerja kilang maut setelah motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan Kilometer 124.8 arah Utara semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Amirul Zamir Md. Isa, 24, yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju Sungai Petani, Kedah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun itu mengalami kerosakan di bahagian enjin lalu dia memberhentikan kenderaan tersebut di lorong kecemasan.
“Pemandu kereta tersebut telah membuka bonet belakang dan memaparkan isyarat kecemasan.
“Tiba-tiba mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian kanan belakang kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Noorzainy pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE










