SHAH ALAM – Taktik licik sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Setia Alam, Seksyen U13, di sini sebagai makmal dadah sejak enam bulan lalu terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa Khamis lalu.
Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bermula kira-kira pukul 12 tengah hari.
Hasil serbuan di rumah teres berpagar dan lengkap dengan kawalan keselamatan itu berjaya menahan lapan lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 19 hingga 65 tahun.
Selain itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat hampir lapan kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM149,585.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, siasatan mendapati kediaman yang disewa pada kadar RM1,500 sebulan itu telah dijadikan makmal memproses dadah sejak enam bulan lalu oleh sindiket berkenaan.
“Antara dadah yang telah kita rampas adalah 6.9 kg heroin, 750 gram heroin base, 1.25 kg ganja dan serbuk dipercayai kafien seberat 53.2 kg.
“Turut dirampas adalah pelbagai peralatan untuk memproses dadah yang terletak di tingkat atas kediaman dua tingkat itu yang dijadikan ‘dapur’ memproses dadah,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket berkenaan mampu membekalkan antara 30 hingga 35 kg sebulan dadah jenis heroin untuk pasaran tempatan.
“Selain rampasan dadah, kita turut menyita enam buah kenderaan, wang tunai, jam tangan serta barang kemas dianggarkan keseluruhan bernilai RM183, 300,”ujarnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati kebanyakan suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan, tukang paip dan buruh am sekitar daerah ini.
“Semakan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga kesemua mereka negatif.
“Siasatan lanjut mendapati ada di antara suspek ini mempunyai pertalian kekeluargaan yang mana wanita 65 tahun itu adalah ibu kepada salah seorang suspek lelaki.
“Kesemua mereka kini direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”jelasnya. – K! ONLINE










