Kisah dua warga emas maut akibat bersesak-sesak mahu mendapatkan kupon makanan percuma sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini amat menyedihkan. Mangsa dalam kejadian itu dipercayai mengalami sesak nafas ketika sedang beratur bersama-sama kira-kira 1,000 lagi warga emas lain. Pihak penganjur katanya hanya menyediakan 200 kupon bufet percuma.
Kes-kes kematian akibat rempuhan atau dipijak ketika berebut-rebut mendapatkan makanan atau barangan biasa didengari berlaku di kem-kem pelarian, pusat-pusat penempatan mangsa bencana alam di kawasan terpencil atau di negara miskin yang mengalami kebuluran sahaja. Apabila kejadian sedemikian berlaku di sebuah negara yang kaya-raya, makmur dan aman damai itu adalah sesuatu yang mengejutkan. Punca kejadian seperti ini semuanya gara-gara mahu mendapatkan makanan percuma.
Beberapa tahun lalu, sebuah pasar raya besar diserbu pengunjung apabila seorang kenamaan secara tiba-tiba mengumumkan beliau akan membayar semua barangan yang dibeli pengunjung pada hari tersebut. Sekonyong-konyong, pasar raya terkenal itu `diserang’, dengan orang ramai merangkul apa sahaja barang yang sempat dicapai. Pasar raya tersebut yang keadaannya tidak ubah seperti dilanda geroda, terpaksa ditutup sementara selepas itu bagi kerja-kerja penyenggaran dan penambahan stok. Mujurlah tidak ada kejadian buruk berlaku.
Sehari selepas itu, tersebar dan tular lagi berita bahawa orang kenamaan yang sama akan datang lagi untuk belanja rakyat jelata di beberapa buah pasar raya lain menyebabkan sekali lagi pasar raya yang disebut itu dibanjiri manusia walaupun sebenarnya berita itu tidak betul sama sekali.
Dalam satu lagi kejadian, sebuah syarikat yang beria-ria mengumumkan mahu menjual telefon pintar berjenama popular pada harga diskaun, terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir kerana jumlah pelanggan yang terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang amat teruk. Khabarnya ada sebahagian pelanggan sudah berkampung di depan pintu masuk syarikat berkenaan sejak dari tengah malam lagi.
Bukan di Malaysia sahaja malah di mana-mana sahaja di dunia ini, apa sahaja bentuk pemberian percuma tidak kiralah sama ada dalam bentuk makanan, barangan atau perkhidmatan akan mendorong orang ramai terutama daripada latar belakang kehidupan yang miskin dan kurang berkemampuan berpusu-pusu datang mencuba nasib. Tambah lagi dalam era teknologi maklumat dan media sosial ini, berita mengenainya cepat tersebar dan tular dalam waktu yang cukup singkat.
Selepas insiden yang membawa kepada kematian dua warga emas masing-masing berusia 78 dan 85 tahun itu, sesiapa sahaja penganjur yang bercadang mahu mengadakan program sumbangan makanan percuma lebih-lebih lagi di tempat terbuka pada masa hadapan perlu menjadikan apa yang telah berlaku itu sebagai iktibar demi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Timbul persoalan
Kejadian yang berlaku itu mungkin satu kes terpencil. Bagaimanapun pada masa yang sama turut menimbulkan satu pertanyaan, apakah itu salah satu petanda bahawa semakin ramai orang susah di negara ini. Mereka sanggup berbaris, berebut dan bersesak-sesak cuba mendapatkan kupon atau baucar makanan percuma. Paling menyayat hati melihat golongan warga emas yang sesetengahnya sudah tidak begitu sihat sanggup menunggu dan beratur panjang.
Sesekali difikirkan ada kebenarannya. Dengan kos sara hidup yang meningkat saban hari dan harga barangan asas keperluan pengguna tidak turun-turun, orang ramai menjadi semakin berkira dan berhati-hati dalam berbelanja. Kalau dahulu sebahagian besar layak mendapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang sudah diubah nama kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), kini bukan semua orang terpilih menikmati bantuan tersebut lagi.
Mencengkam kehidupan
Malah hampir setiap hari ada sahaja laporan berita mengenai rintihan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani, peneroka tanah rancangan dan pemandu teksi. Mereka mengeluh tentang peningkatan kos sara hidup dan harga barangan pengguna yang benar-benar mencengkam kehidupan seharian. Golongan ini paling mendapat kesan kerana gaji yang rendah serta pendapatan yang tidak menentu.
Maka tidak hairanlah kalau ada yang membuang rasa malu dan sudah tiada silu lagi untuk sama-sama beratur atau bersesak-sesak semata-mata kerana mahukan makanan percuma. Semuanya dilakukan bagi mengurangkan kos hidup yang semakin menghimpit kehidupan. Tidak keterlaluan dikatakan jika ada satu-satu program di tempat awam, jumlah audiens yang cukup ramai itu datang bukannya kerana mahu mendengar sangat ceramah program sebaliknya lebih mahu menikmati makan percuma yang sudah pasti enak-anak!
Dalam hal ini langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan Food Bank Malaysia dilihat sebagai langkah tepat dan kena pada masanya untuk membantu rakyat terutama golongan tidak bernasib baik yang tinggal di kawasan luar bandar dan kumpulan miskin bandar. Apa yang dilaksanakan ini mungkin tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah tetapi sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban hidup mereka.
Program ini sudah menampakkan banyak kesan positif apabila sektor-sektor yang terlibat seperti peruncitan, perhotelan, pengilang makanan dan restoran memberi kerjasama yang baik manakala golongan sasaran seperti orang miskin, golongan berpendapatan rendah, pelajar institusi pengajian tinggi sudah mula merasa manfaatnya.
Bagi menjadikan program ini benar-benar sampai kepada golongan sasaran, Food Bank boleh diperluaskan lagi ke tempat-tempat tumpuan awam seperti masjid, surau, pusat komuniti serta tempat-tempat ibadah lain. Sekarang ini pun program seperti gerobok rezeki telah banyak diwujudkan di masjid dan surau yang memperkenalkan konsep bersedekah atau infak makanan dan barangan keperluan asas. Orang ramai tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan boleh mendapatkan segala keperluan asas seperti gula, beras, minyak masak serbuk kopi dan teh, susu, mi kering dan pelbagai lagi di situ. Ternyata program ini mendapat sambutan sangat baik daripada orang ramai yang tidak putus-putus menderma bagi mengelakkan bekalan terputus.
Program yang baik dan memberi manfaat besar kepada orang ramai terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah ini perlu diperhebatkan dengan mengenal pasti lebih banyak kumpulan sasar baharu termasuk yang selama ini `bersembunyi dan diam’ terutama di kawasan bandar besar. Tidak mustahil suatu hari nanti jika program ini berjalan mengikut landasan yang dirancang, tidak akan ada lagi kejadian orang tua, warga emas dan orang miskin bersesak-sesak, berebut-rebut dan bertolak-tolak untuk mendapatkan makanan. Pada masa yang sama keluhan serta rintihan tentang kesesakan dan keperitan hidup semakin kurang kedengaran.











