LONDON 25 Feb. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak mampu lagi bergerak secara ‘silo’ atau bersendirian, bahkan akan berusaha lebih keras untuk cuba bagi turut melibatkan pihak-pihak lain termasuklah jabatan dan agensi berkaitan, IPT, sekolah, Persatuan-persatuan Alumni dan lain-lain lagi dalam mencapai segala matlamatnya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai contoh, sasaran MAIPs untuk melahirkan generasi baharu Perlis yang lebih berdaya maju, dinamik, cemerlang dan hebat hendaklah digarapkan bersama-sama termasuklah dengan segenap peringkat rakyat Perlis.
“Kita sedar bahawa kita tidak boleh ada sikap ‘syok sendiri’ atau ‘perasan lebih’ bahkan MAIPs ingin segala nilai positif yang hendak cuba diterapkan dapat dibumikan hingga ke akar umbi,” titah baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin selepas berkenan menyerahkan sumbangan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 yang diserahkan kepada Setiausaha Kedua di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Samzah Jamirin petang tadi di London.
Berangkat sama ialah anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menambah bahawa majlis itu akan memberi fokus kepada kepentingan untuk merakyatkan aspirasi dan hala tujunya sepanjang tahun ini.
MAIPs juga akan cuba sedaya upaya untuk lebih menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat khususnya dalam memberikan kefahaman kepada mereka tentang apakah yang dihasrat dan dicita-citakan oleh majlis berkenaan.
Untuk rekod, sumbangan tersebut antara lain untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara berkenaan.
Ada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah kesihatan dan kewangan di luar negara dan wang daripada tabung itu boleh dikeluarkan untuk membantu mereka. – UTUSAN ONLINE










