WAH! Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia disajikan dengan pelbagai cerita. Semuanya panas. Daripada kisah politik hinggalah hiburan. Tentang berita hiburan teringin juga hendak ulas kisah Emma Membong buka tudung selepas beberapa tahun berhijab, tapi biarlah. Penulis percaya tuan punya tubuh tentu ada jawapannya.
Apa pun kita harus positif dan pada masa sama berdoa kepada Alah SWT agar Emma satu hari nanti terbuka hatinya untuk berhijab semula dan terus istiqamah sampai bila-bila. Amin.
Di saat peminat-peminat hiburan tanah air tertumpu kepada isu Emma, tidak semena-mena timbul pula isu status ijazah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya sehingga integritinya mula dipersoalkan. Beliau didakwa telah memalsukan kelayakan akademiknya.
Akibatnya beliau dikecam hebat oleh netizen. Ijazahnya itu didakwa telah diterima dari Universiti Cambridge. Ekoran kecaman itu beliau kemudian menjelaskan ijazahnya bukan dari Universiti Cambridge di United Kingdom sebaliknya dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang terletak di Amerika Syarikat (AS).
Namun begitu, kredibiliti universiti tersebut diragui kerana didakwa tidak mempunyai akreditasi dari AS malah disyaki sebagai sebuah universiti yang menjalankan kegiatan menjual ijazah.
Seperti mana menurut seorang aktivis politik yang juga pengendali blog Mamu Parpu, Muhsin Abdul Latheef, tambah mengelirukan apabila carian di laman web mendapati Universiti Antarabangsa Cambridge AS tidak tersenarai dalam institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan British.
Inilah latar belakang ringkas mengenai isu yang melanda Marzuki. Isunya sekarang mengapa keadaan sebegini boleh berlaku di saat kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil berat tentang integriti dan akauntabiliti.
Adakah kepimpinan PH sedar mengenai isu tersebut atau mereka terlepas pandang. Seperkara lagi, bukankah seseorang yang bakal menganggotai Kabinet sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri perlu melalui saringan oleh agensi-agensi berkaitan seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
Penulis difahamkan saringan yang dilakukan agensi-agensi berkenaan bukan calang-calang. Saringannya cukup ketat dan terperinci. Tujuannya untuk memastikan bakal menteri atau timbalan menteri bebas daripada jenayah, rasuah, bankrap dan paling utama segala maklumat diri adalah tepat dan jujur.
Justeru, tidak mungkin isu kelulusan akademik ini boleh terlepas. Sekiranya benar-benar terlepas. tolonglah tengok semula kaedah saringan yang dijalankan agar isu serupa tidak lagi berlaku pada masa akan datang.
Perkara ini adalah perkara serius. Kerajaan PH tidak boleh melihatnya sebelah mata kerana melibatkan seorang individu berjawatan Timbalan Menteri Luar. Jawatan yang menuntut individu terbabit membawa nama Malaysia di persada antarabangsa. Yang menuntut pemimpin berkenaan bertemu dengan wakil-wakil kerajaan luar selain menghadiri persidangan, simposium, seminar dan segala berkaitan hubungan Malaysia dengan negara luar.
Pendek kata, beliau boleh dianggap seorang duta. Sudah tentu isu ini telah tersebar di mana-mana termasuk di luar negara sekali gus boleh menjejaskan imej negara dan mencemarkan juga nama baiknya sebagai seorang timbalan menteri. Yang terpalit dengan isu ini juga adalah orang penting dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu seorang berjawatan Setiausaha Agung parti. .
Mahu tidak mahu kerajaan perlu memperbetulkan keadaan ini dengan segera dan begitu juga dengan Bersatu. Tindakan perlu diambil jika benar integriti Marzuki terjejas disebabkan isu ini. Sungguhpun begitu, untuk lebih adil siasatan perlu dilakukan. Lagipun laporan polis telah pun dibuat.
Penulis percaya jika perkara sama berlaku pada kerajaan terdahulu (kerajaan Barisan Nasional (BN)) sudah tentu PH akan mendesak individu terlibat meletakkan jawatan. Bagi penulis ini bukan soal kelayakan akademik tetapi lebih kepada kejujuran. Yang pasti, seorang ahli politik atau ahli perniagaan yang hebat tidak semestinya mempunyai segulung ijazah.
Selepas Marzuki, kerajaan PH juga perlu menyiasat kelayakan akademik Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian. Orang ramai mula meragui kelayakan Osman yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali dengan nama Universiti Putra Malaysia (UPM).
Siasatan perlu dijalankan bagi memastikan keraguan ini benar atau sebaliknya. Jika benar, tindakan sewajarnya perlu diambil atas nama integriti, akauntabiliti dan kejujuran.










