Mahkamah Rayuan tolak permohonan Dr. Mahathir cabar pelantikan Raus, Zulkefli - Utusan Malaysia

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Dr. Mahathir cabar pelantikan Raus, Zulkefli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Feb. – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meneruskan rayuannya yang mencabar pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan  yang diketuau Yang Arif Datuk Abdul Rahman Sebli sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Dr. Mahathir melalui peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla supaya rayuan itu ditolak.

“Atas permohonan oleh perayu itu sendiri, maka kedua-dua rayuan itu ditolak,” katanya.

Korum yang turut dianggotai Yang Arif Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Yang Arif Datuk Hasnah Mohammed Hashim juga tidak memerintahkan sebarang kos berhubung tindakan tersebut.

Ketika membuat keputusan itu, Yang Arif  Abdul Rahman berkata, dalam keadaan hari ini responden pertama yang dinamakan dalam kes tersebut iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ketika ini.

“Sehubungan itu responden pertama tidak mempunyai kedudukan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang dipohon oleh perayu (Dr. Mahathir) semasa memfailkan semakan kehakiman.

Selain itu, permohonan itu juga bersifat berulang dan menjadi sia-sia seperti mana yang telah diakui peguam responden (Mohamed Haniff Khatri),” katanya.

Dr. Mahathir merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak dua permohonannya bagi kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap Najib, Kerajaan Malaysia, Raus dan Zulkefli bagi mencabar pelantikan kedua-dua hakim tersebut.

Dr. Mahathir memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk semakan kehakiman pada 9 Ogos dengan menamakan Najib, kerajaan dan Raus sebagai responden, untuk mendapatkan perintah mandamus memaksa perdana menteri (Najib) dan kerajaan segera memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan atau menamatkan pelantikan Raus sebagai Ketua Hakim Negara untuk tempoh selama tiga tahun lagi bermula 4 Ogos.

Pada 27 September lalu, Dr. Mahathir memfailkan permohonan yang sama, menamakan Najib, kerajaan dan Zulkefli sebagai responden, untuk mencabar pelantikan dan pelanjutan tempoh khidmat presiden Mahkamah Rayuan.

Kedua-dua permohonan itu berdasarkan empat alasan mengikut peruntukan perlembagaan, termasuk Perkara 125 (1) Perlembagaan yang menyebut seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur 65 tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh kemudian daripada enam bulan selepas dia mencapai umur 65 tahun.

Pada 24 September lalu, panel enam anggota Mahkamah Persekutuan menolak untuk merujuk empat persoalan perlembagaan berhubung kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli dalam kes yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguambela Sarawak selepas memutuskan bahawa isu itu adalah bersifat akademik memandangkan Raus dan Zulkefli sejak itu telah melepaskan jawatan mereka.

Raus dan Zulkefli telah meletakkan jawatan pada 31 Julai tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN