KUALA LUMPUR 7 Feb. – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menolak tawaran penyelesaian oleh AirAsia Berhad (AirAsia) menerusi surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya telah mencadangkan proses pengantaraan kepada MAHB sebagai usaha untuk menyelesaikan perselisihan terhadap caj perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2).
Menurut beliau, akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) memerlukan AirAsia dan MAHB mencari jalan penyelesaian bersama terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Tujuannya untuk menjimatkan masa dan kos kepada semua pihak yang terlibat termasuk sistem kehakiman. Oleh itu, AirAsia bertindak mengikut saluran yang telah ditetapkan bagi mematuhi akta di samping mengelak perkara ini menjadi perhatian umum kerana boleh menjejaskan sektor penerbangan.
“Kami percaya walau apa pun hasilnya, proses tersebut membolehkan kedua-dua belah pihak bertindak dengan lebih bijak,” katanya di sini semalam.
Tambah Riad, pihaknya kesal dengan tindakan MAHB kerana menolak untuk menyelesaikan perkara berbangkit secara bersama selepas kenyataan MAHB baru-baru ini yang optimis perkara tersebut boleh dan dapat diselesaikan.
“Kami akan mendapatkan bimbingan Mavcom untuk langkah seterusnya bagi menangani situasi ini. Bagaimanapun, kami berhak untuk mengambil segala tindakan yang perlu bagi melindungi kepentingan tetamu dan pemegang saham,” katanya.
AirAsia pada minggu lalu menghantar notis tuntutan hampir RM480 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) atas kerugian yang ditanggung kerana beroperasi di KLIA2. MASSB merupakan anak syarikat milik penuh MAHB.
Menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu, punca utama kerugian disebabkan kehilangan pelanggan dalam tempoh empat tahun terakhir berikutan gangguan dan keadaan terminal yang lemah.
Sehubungan itu, MAHB menjelaskan pihaknya serta MASSB tidak mempunyai kuasa untuk menentukan, menetapkan atau mengawal kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang menjadi pertikaian dengan AirAsia.
Jelas syarikat pengurusan lapangan terbang itu, kadar PSC di negara ini berada di bawah bidang kuasa Mavcom di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.










