Lumba kayak uji fizikal peserta - Utusan Malaysia

Lumba kayak uji fizikal peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

D ENGAN prasarana serba moden dan lokasi strategik, Puteri Harbour di Selat Johor mampu menjadi lokasi sukan kayak yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa. Untuk itu aktiviti kayak perlu diadakan secara berterusan di kawasan itu. Justeru, promosi dan penganjuran aktiviti serta perlumbaan kayak wajar diadakan setiap tahun. Antara program tahunan yang dinanti oleh ramai peminat kayak adalah Iskandar Puteri Kayak Challenge (IKPC). Tahun lalu program itu diadakan pada 15 Disember 2017.

Pengarah Program IKPC, Maimoon Hussein berkata, acara berkayak secara maraton itu melibatkan jarak hampir 40 kilometer iaitu bermula dari Puteri Harbour menempuh Pendas dan Pulau Merambong sebelum berakhir di Kampung Sungai Melayu. Peserta turut berpeluang menikmati pemandangan di sekitar Selat Johor sekali gus menimba pengalaman baharu.

“Penganjuran pertandingan kayak kali kedua ini berbeza dengan tahun sebelum ini kerana tidak hanya fokus kepada aktiviti air sahaja. Memandangkan segelintir daripada masyarakat memiliki perasaan ‘takut air’, maka program ini turut diisi dengan aktiviti `mendayung di darat’ iaitu Indoor Rowing,” katanya kepada S2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program anjuran Kerajaan Negeri Johor, Persatuan Kanu Johor, Persatuan Mendayung Malaysia, UEM Group of Companies, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Indera Sakti Event Management itu telah menarik jumlah penyertaan di luar jangkaan iaitu kira-kira 100 orang. Angka itu mencatatkan dua kali ganda penyertaan berbanding acara sebelum ini.

Bertujuan mempromosikan sukan ekopelancongan di sekitar Puteri Harbour, siapa sangka IPKC turut mendapat sambutan dari peserta luar Malaysia iaitu Brunei dan Indonesia.

‘‘Mengikut rekod penyertaan, peserta lelaki dari Brunei yang berusia hampir 55 tahun adalah seorang yang aktif dan begitu meminati sukan air.

“Kami berasakan pertandingan ini perlu diadakan di peringkat antarabangsa bagi memberi peluang kepada penggemar sukan lasak tempatan berkumpul dan bersaing dengan peserta luar,’’ tambah Maimoon.

Kongsinya lagi, pertandingan yang telah dirancang selama enam bulan itu mendapat sambutan baik institusi pengajian tinggi awam (IPTA)dan swasta (IPTS) dari Terengganu, Pahang, Perak dan Melaka.

Menurutnya, realiti terhadap situasi bagi penggemar sukan lasak air ini adalah mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran untuk berkayak, namun tidak banyak acara mahupun pertandingan diadakan di negara ini memandangkan ia memerlukan kawasan air yang selamat untuk bersukan.

Akibat kekurangan itu katanya, sesetengah pihak tidak melihat kayak berpotensi besar seperti sukan lain. Keadaan itu menyebabkan hasrat penggemar aktiviti kayak terus terkubur sekali gus menafikan kemahiran mereka untuk dimanfaatkan di peringkat antarabangsa.

‘‘Pertandingan kayak maraton ini boleh menjadi salah satu platform bagi melatih lebih ramai peminat kayak tempatan meneruskan sukan air ini selain menonjolkan kemampuan fizikal serta mental mereka bersaing di peringkat dunia,” ujarnya.

Maimoon berkata, acara pelepasan peserta kayak telah disempurnakan oleh Pengarah Pelancongan Negeri Johor, Abd. Malik Ismail sekitar pukul 9 pagi. Acara kayak maraton di Selat Johor ini kebiasaannya memakan masa dua jam setengah bagi mereka yang profesional.

‘‘Pada tahun ini hanya lima pasukan melebihi jangkaan waktu yang menyebabkan mereka dikenakan cut off oleh penganjur. Jumlah ini sedikit kecil jika dibandingkan dengan tahun lalu,’’ katanya.

Selain itu katanya, pihak penganjur tidak mengalami sebarang masalah yang rumit memandangkan mereka telah memiliki pengalaman daripada pertandingan lalu. Namun, hanya sedikit cabaran bagi kumpulan peserta yang mengalami tangan melecet, kayak terbalik dan kejang kaki semasa bertanding.

Penganjuran IKPC menerima kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Laut, Kementerian Kesihatan serta Polis Diraja Malaysia.

Sedia tempat latihan kayak

Pengarah Program IKPC, Maimoon Hussein berkata, pihaknya telah membina sebuah pusat latihan dengan kerjasama UEM bagi menyediakan tempat latihan dan mendapatkan khidmat jurulatih daripada ahli Persatuan Kanu Malaysia.

Menurutnya, pelatih akan didedahkan dengan pelbagai aspek dalam sukan kayak meliputi kemahiran mendayung, keselamatan dan teknik memantapkan stamina.

Dalam usaha kerajaan negeri menjadikan Puteri Harbour sebagai pusat sukan air utama di Malaysia, katanya, pihaknya berganding bahu dengan Persatuan Kanu Malaysia bagi melatih peserta kategori bawah umur untuk menyediakan mereka menyertai pertandingan kayak.

‘‘Mereka yang terlibat terdiri daripada remaja berusia 10 hingga 15 tahun. Di bawah kendalian persatuan, seramai 90 peserta dari seluruh daerah di Johor telah mengikuti program ini. Hasilnya seramai 60 orang telah bersedia untuk menjadi atlet kayak,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, sempena Sukan Malaysia (Sukma) Johor dan Tahun Melawat Johor 2020, turut dipertimbangkan oleh pihak berkaitan adalah mengisi slot tersebut dengan pertandingan kayak.

Bagaimanapun katanya, ia tidak melibatkan jarak kayuhan yang jauh, sebaliknya hanya perjalanan dekat pergi dan berpatah balik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×