MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku mengakui dia bersedia untuk beraksi di mana-mana posisi mengikut kesesuaian falsafah yang diterapkan oleh pengendali, Ole Gunnar Solskjaer.
Pemain antarabangsa Belgium iturut mengintai peluang untuk kembali diletakkan sebagai penggempur utama selepas Marcus Rashford disahkan mengalami kecederaan buku lali ketika berdepan Liverpool minggu lalu.
Pada masa yang sama, seorang lagi penyerang, Anthony Martial turut digugurkan dalam skuad utama kerana mengalami kecederaan paha.
Ia sekali gus membuka peluang kepada Lukaku serta Alexis Sanchez untuk menjadi penggempur utama United sewaktu berdepan Crystal Palace awal pagi esok di Selhurst Park.
“Saya tidak kisah sekiranya diletakkan di posisi kanan, kiri atau hadapan asalkan saya dapat beraksi. Saya mahu membuktikan kemampuan saya di United. Jika saya diletakkan pada posisi kiri atau kanan, fungsi saya hanyalah untuk mencipta peluang kepada rakan sepasukan.
“Jika di posisi hadapan, sudah tentu saya perlu menjaringkan gol. Saya hanya akan cuba memberi yang terbaik untuk membantu United merangkul tiga mata,” katanya.
Pada masa yang sama, bekas pemain Everton itu mengakui bakal berdepan tugas getir ketika menentang Palace memandangkan skuad kendalian Roy Hodgson terkenal dengan kepakaran menewaskan pasukan gergasi. – Agensi











