SERI MANJUNG – Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila ditewaskan Kedah 0-2 dalam perlawanan pertama saingan Liga Super 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini sebentar tadi.
PKNP FC terlebih dahulu mencipta peluang pada minit ke-4 untuk menghasilkan jaringan awal namun hantaran lintang G. Mugenthiran gagal disudahkan pasukan tuan rumah.
Tersentak dengan gerakan tersebut, pasukan pelawat mula melancarkan serangan bertali arus namun beberapa percubaan dari luar kotak penalti dan sepakan percuma gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Kedah hampir mendapat jaringan awal apabila bola yang dihantar pemain penyerangnya, Zaquan Adha tertampan keluar oleh Jonatan Jesus Bauman pada minit ke-30.
Keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, PKNP FC menyusun gerakan menyerang namun usaha dilakukan belum membuahkan hasil untuk mendapatkan jaringan.
Kedah berjaya mencipta peluang baik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 apabila bola hantaran pemain import, Anmar Fares ditanduk Jonatan namun sedikit tinggi melepasi palang gol.
Kapten PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan membuat hantaran cantik dari kiri padang menuju ke kotak penalti pelawat namun Mugenthiran gagal menolak bola masuk ke gawang Kedah pada minit ke-58.
Lapan minit berselang, sepakan percuma Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar hampir membuahkan jaringan sebelum bola ditepis penjaga gol PKNP FC, Amar Asyraaf Omar.
Usaha pasukan pelawat untuk mendapatkan jaringan berhasil pada minit ke-66 apabila pemain pertahanannya, Muhammad Shakir Hamzah menyepak bola leret terus ke dalam gawang PKNP FC selepas keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol.
Penyokong pelawat sekali lagi bersorak kegembiraan apabila Jonathan menghadiahkan jaringan kedua buat Kedah melalui rembatan kencang tepat ke gawang PKNP FC pada minit ke-87.
Tamat perlawanan, PKNP FC tewas dengan jaringan 0-2 kepada Kedah. – K! ONLINE










