JAKARTA – Satu letupan berlaku di kawasan parkir yang terletak tidak jauh dari Hotel Sultan di Jakarta, tempat berlangsungnya Debat Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2019.
Letupan yang belum disahkan puncanya oleh pihak berkuasa itu, menyebabkan orang ramai yang terdiri daripada para penyokong Joko Widodo yang akan mempertahankan jawatannya pada Pilpres 2019 dan para penyokong seorang lagi calon Pilpres, Prabowo Subianto, yang berkumpul di kawasan itu bertempiaran lari.
Debat Pilpres pusingan kedua berlangsung di Hotel Sultan bermula pukul 8 malam itu terletak kira-kira 300 meter kawasan letupan itu, tetap berlangsung seperti biasa selepas letupan itu berlaku kira-kira pukul 8.15 malam.
Menurut seorang saksi yang dipetik oleh media tempatan yang hanya dikenali sebagai “Panji”, beliau melihat seorang individu yang berada dalam sebuah kenderaan, melemparkan sesuatu ke kawasan parkir itu sebelum berlaku letupan.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. – Bernama










