Letak jawatan bukan pilihan buat Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Letak jawatan bukan pilihan buat Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Apa yang tidak membunuh anda akan membuatkan anda lebih kuat”. Ini merupakan ungkapan ahli falsafah Jerman Friedrich Wilhelm Nietzshe.

Tindakan meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan, hanya kerana beliau mengatakan buku manifesto bukan kitab suci, memperlihatkan niat Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau untuk menabur fitnah terhadap Perdana Menteri dan menafikan ruang yang diperlukannya untuk memperbaiki negara.

Pada umumnya, Pakatan Harapan (PH) adalah satu gabungan baharu. Sebab itulah ramai yang masih meraguinya.

UMNO dan Barisan Nasional (BN), meskipun kini sudah pecah berderai dan masih tidak mampu bersatu, masih yakin bahawa PH akan jatuh tersungkur menjelang 2023, atau mungkin lebih awal.

Muslihat mereka adalah mengipas api agama dan perkauman dengan memperlihatkan PH sebagai sebuah gabungan yang tidak dapat – dan enggan – mempertahankan kepentingan politik dan identiti Melayu.

Pada waktu yang kritikal ini, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila Cheng Hau meminta peletakan jawatan Perdana Menteri, kerana ini menimbulkan krisis kepemimpinan dalam PH sendiri.

Ditambah pula, walaupun dikatakan sudah ada calon Perdana Menteri seterusnya, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipersetujui semua pihak di dalam PH.

Sebarang usaha untuk menukar pemimpin pada pertengahan penggal adalah sangat bahaya. Bukan hanya untuk politik identiti Melayu sahaja, tetapi Malaysia secara keseluruhannya.

UMNO dan Pas, misalnya, telah berubah menjadi satu pakatan acuh tak acuh, seperti gerakan gerila. Ada kalanya mereka mendakwa akan bekerjasama, ada kalanya mereka menafikan usaha sama tersebut.

Yang pasti, mereka bertunjangkan rancangan dan kepentingan jangka masa pendek. Apabila PH lemah, UMNO dan Pas akan menghentam mereka secara bertalu-talu dengan pelbagai fitnah.

Ini terutamanya melalui tuduhan DAP merupakan tuan boneka sebenar. Lagipun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini mempertahan dan mengakui pembohongan sebagai alat strategi.

Pada saat genting ini, dengan musuh daripada luar yang sedaya upaya cuba memecahbelahkan PH, maka amat mengejutkan dan tidak masuk akal apabila Cheng Hau dengan begitu mudah terperdaya dengan helah UMNO dan Pas.

Malahan, DAP dan keseluruhan kepemimpinan atasan pun tidak setuju pandangan Cheng Hau.Walau bagaimanapun, nasi sudah jadi bubur.

Mengizinkan retorik peletakan jawatan Dr. Mahathir disiarkan di khalayak ramai memberi isyarat yang Cheng Hau sanggup menjadi lidah pembangkang.

Inilah yang sepatutnya dilakukan Cheng Hau. Beliau harus menyoal dirinya sendiri – wajarkah beliau letak jawatan memandangkan fakta menunjukkan beliau telah terperangkap dengan godaan pembangkang?

Jikalau tidak mampu berdepan kebenaran, jelas sekali beliau amalkan dwistandard terhadap dirinya dan orang lain.

Dalam semua perihal berkaitan tempoh Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, Cheng Hau sepatutnya faham perihal itu bergantung kepada keputusan undi tidak percaya dalam Parlimen, yang seharusnya dibuat dalam sesi Parlimen.

Perlucutan jawatan Perdana Menteri adalah satu isu yang sangat serius, dan tidak boleh dipandang enteng. Cheng Hau kelihatan cuba memperkecil proses di mana jawatan dan kuasa Perdana Menteri diasaskan.

Kepada yang ingin melihat Dr. Mahathir turun, isunya adalah penggunaan kaedah yang betul. Persoalannya, bolehkah isu ini dibawa ke Parlimen? Kalau tidak boleh, Cheng Hau tiada lokus standi sama sekali.

Kepemimpinan tertinggi PH telah pun menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Persembahan wayang kulit oleh pakatan durjana baharu, UMNO-Pas-MCA, terkecundang lagi.

Fokus paling utama PH semestinya ke arah membangunkan negara melalui perlaksanaan janji-janji manifesto. Perkara selain itu hanyalah kicauan burung.

DATUK RAIS HUSSIN ialah Presiden & CEO EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN