IPOH – Seorang lelaki warga emas ditemui maut dengan kesan luka di bahagian dada selepas dia terlibat dalam pergaduhan di tangga sebuah rumah kedai di Jalan Theatre di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Chai Ah Kin, 93, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk akibat ditikam dengan senjata dipercayai sudu.
Difahamkan, suspek berusia 30-an juga parah selepas dia ditetak oleh seorang lelaki lain yang mahu menyelamatkan ibunya daripada dicekik suspek dalam pergaduhan itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kejadian pergaduhan itu pada mulanya melibatkan mangsa dan suspek yang menyewa bilik bersebelahan di rumah kedai tersebut.
“Bagaimanapun, seorang wanita yang juga menyewa bilik di premis sama cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun suspek telah bertindak agresif dengan mencekik wanita berkenaan.
“Anak lelaki wanita itu yang balik bercuti untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama ibunya telah melihat kejadian tersebut sebelum dia cuba menyelamatkan ibunya dengan menetak suspek menggunakan pisau sehingga cedera parah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Anuar, lelaki warga emas itu pula meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan luka di dadanya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan pergaduhan tersebut disyaki berlaku akibat perselisihan faham yang berlarutan antara mangsa dan suspek.
“Mangsa yang maut telah menyewa di premis ini sejak 20 tahun lalu manakala suspek yang parah itu pula baru enam bulan menyewa bilik di premis sama,” jelasnya.
Katanya, polis sedang menyiasat objek yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai pisau dan sudu dipercayai senjata yang digunakan namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkannya.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat manakala suspek yang parah juga dirawat di hospital sama,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE











